Sabtu, 6 Jun 2015

Bank Negara perlu bongkar ke mana RM42 bilion wang 1MDB

Rafizi

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia perlu menyenaraikan perbelanjaan terpeinci hutang yang ditanggung syarikat 1Malaysia Development Berhad sebanyak RM42 bilion, kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, siasatan itu perlu dilakukan sehingga satu laporan dibentangkan di parlimen dan 1MDB perlu didakwa sekiranya dana yang dipinjam atau dilaburkan berlainan dari kelulusan awal Bank Negara.
Mengalu-alukan siasasatn tersebut, Rafizi berkata pengumuman BNM itu dibuat pada hari sama 1MDB mengumumkan perbelanjaannya semalam.
 
Katanya, daripada RM42 bilion hutang bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014, hanya RM19.7 bilion boleh dipadankan dengan aset nyata dan boleh dijual semula.

Jumlah itu terdiri daripada pembelian penjana bebas (IPP) daripada jutawan Tan Sri Ananda Krishnan dan Genting yang menelan belanja RM18 bilion dan pembelian tanah kerajaan berjumlah RM1.7 bilion.

Namun katanya, pembelian IPP itu dikhuatiri merugikan rakyat berdasarkan laporan media yang menyebut harga yang dibayar kepada mereka lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Pengumuman 1MDB mengesahkan bahawa bukan sahaja 1MDB membeli pada harga yang lebih mahal malah turut menanggung hutang RM6 bilion dari syarikat-syarikat itu,” katanya yang juga Naib Presiden KEADILAN.

Tambahnya, jumlah RM15.4 bilion dalam syarikat-syarikat yang tidak dapat dipastikan aktiviti perniagaan atau asetnya iaitu Brazen Sky, Aabar dan 1MDB GIL mengesahkan bahawa 1MDB tidak boleh menerangkan ke mana wang itu dibelanjakan.

“Jika syarikat-syarikat ini mempunyai bangunan, kilang, tanah, saham dan lain-lain maka sudah tentu 1MDB boleh menunjukkan aset-aset ini untuk mematikan sebarang spekulasi

“Hakikatnya, kenyataan 1MDB hanya mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya separuh dari RM42 bilion itu telah dibelanjakan bagi tujuan yang diragui dan mungkin bertentangan dari kelulusan awal Bank Negara Malaysia,” ujarnya.

“Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Bank Negara Malaysia menyiasat sehinggalah satu laporan dapat dibentangkan di Parlimen untuk menyenaraikan semua perbelanjaan secara terperinci yang melibatkan hutang RM42 bilion itu.

Tiada ulasan: