Sabtu, 6 Jun 2015

Bahaya ‘berita dari warga’ dan pentingnya kewartawanan ‘sebenar’




Oleh Hazlan Zakaria


Profesion dan amalan kewartawanan di Malaysia telah menerima banyak kritikan beberapa tahun kebelakangan ini. Reputasi kedua-duanya merudum, akibat kesalahan sendiri dan juga campur tangan ‘luar’.

Ditambah pula dengan banyak dakwaan sama ada menjadi ‘lidah’ kepada penguasa atau ‘kaki tohmah’ bagi pihak pembangkang. Serta tindakan-tindakan pihak yang memiliki media untuk mempengaruhi dasar editorial dan bahan berita.

Kemudian ada pihak yang benar-benar menyeleweng dalam kewartawanan, yang mungkin layak menerima penghinaan dan rasa tidak percaya orang awam terhadap bidang ini secara keseluruhan. Ini adalah satu trend yang merosakkan profesion dan industri.

Rasa tidak percaya orang ramai terhadap media sudah mencapai satu tahap di mana mereka tidak lagi yakin terhadap berita yang dilaporkan. Mereka lebih cenderung menjadikan media sosial seperti Facebook dan Twitter sebagai sumber mendapat berita.

Tetapi seperti yang terlihat baru-baru ini, timbulnya bahaya apabila orang awam yang tidak terlatih ‘menjadi’ wartawan dengan berita-berita yang berlegar di media sosial. Sama seperti pengamal media yang tidak profesional dan tidak boleh dipercayai.

Mereka yang merakam video dan menulis tentang peristiwa yang dirakam, kemudian memuatnaiknya di media sosial sebagai ‘berita terkini’ secara suka-suka adalah lebih bahaya berbanding ‘wira papan kekunci’ yang gemar berkongsi berita yang belum tentu sah atau tidak.

Kewujudan kamera telefon dan meluasnya perkhidmatan jalur lebar internet membantu kelahiran ‘pahlawan telefon’ media sosial yang aktif ini.

Hal ini jelas terbukti dalam perbualan pengacara bicara pagi radio kegemaran saya baru-baru ini, yang menyebut tentang satu kes melibatkan video yang tersebar di internet, tentang orang ramai yang memecahkan tingkap kereta untuk menyelamatkan bayi.

Nampaknya individu yang merakam dan memuatnaik video itu tiba lambat ke tempat kejadian, dan hanya ketika orang ramai sudah pecah masuk ke dalam kereta.


Maka dia merasakan yang si ibu-lah yang meninggalkan bayi di dalam kereta, dan orang ramai bertindak sendiri untuk menyelamatkannya. 

Dan memang inilah yang digambarkannya dalam posting itu. Video itu menjadi viral dan orang yang menontonnya turut membuat pandangan yang sama.

Ini menyebabkan kecaman yang tidak sepatutnya kepada ibu tersebut. Insiden ini turut dilaporkan laman berita, dan mencetuskan kegemparan.

Seperti yang disebut dalam siaran radio itu, perkara sebenarnya adalah berbeza. Ibu kepada bayi itu memang ada di sana dan meminta orang ramai menolongnya memecahkan kereta untuk menyelamatkan anaknya. Ini kerana ‘auto-lock’ keretanya rosak, menyebabkan anaknya terperangkap.

Individu yang memuat naik video tersebut kini meminta maaf kepada wanita itu kerana secara tidak sengaja menyebabkan beliau dikecam.

Sementara saya tidak boleh bercakap bagi pihak semua wartawan, saya boleh katakan ramai wartawan yang saya kenal sekurang-kurangnya akan bercakap dengan si ibu yang ada di sana, atau bertanya orang yang memecahkan kereta tentang apa yang berlaku, dan mendapat sedikit latar dan maklumat sebelum menulis atau memuatnaik video tentangnya.

Standard dalam membuat laporan mungkin pelbagai, dan setiap organisasi media memiliki kecondongan dan ‘angle’ yang berbeza. Tetapi standard yang sama terpakai kepada semua wartawan yang terlatih.

Percaya atau tidak, hal ini ditekankan bertubi-tubi ketika latihan kami, dan oleh sub-editor dan editor setiap hari dan setiap masa. 

Ini adalah pergelutan harian dalam kewartawanan; membuat pengesahan, sentiasa menelefon dan mengejar, berlegar di setiap acara yang bermula dengan ‘waktu Malaysia’ dengan VIP yang sentiasa lambat, dan menunggu penuh cemas untuk tokoh-tokoh menelefon anda kembali sebelum ‘deadline’.

Editor memang diketahui akan membuat macam-macam ‘perkara’ kepada wartawan yang tidak mengesahkan berita dan sumber mereka, atau gagal menyiapkannya mengikut masa yang diperuntukkan.

Apa-apa pun, insiden ini menunjukkan mengapa keadaan orang ramai yang menjadi wartawan tanpa sekurang-kurangnya asas etika dan prinsip kewartawanan, boleh jadi bahaya.

Walaupun ia juga menonjolkan keburukan sesetengah wartawan yang tidak mengamalkan prinsip sama, walhal ini adalah bidang mereka. Mereka ternyata bersalah kerana tidak mendapatkan cerita sebenar ketika mengambil video viral ini sebagai bahan berita.

Maka di sini ada pengajaran bagi kedua-dua pihak; agar orang ramai sentiasa ingat untuk lebih berhati-hati sebelum ‘menjadi’ wartawan, memandangkan berita di zaman digital boleh tersebar begitu laju dan memberi kesan meluas.

Bagi wartawan pula, ia adalah satu lagi peringatan agar mengamalkan apa yang dipelajari dan sentiasa ingat pedoman penting atau ‘golden rule’ dalam kewartawanan – sahkan dan pastikan fakta yang benar. Ini adalah sesuatu yang kita, wartawan sendiri perlu pegang dengan lebih erat.


Tiada ulasan: