SHAH ALAM - Setiausaha Pemuda Pas,  Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus antara calon yang bakal diketengahkan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak nanti.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat memberi gambaran itu semasa ucaptamanya pada majlis perasmian Muktamar Pemuda Pas Kali ke - 56.

Menurutnya, Jabatan Pilihan Raya Pas telah menumpukan aktiviti bagi persiapan PRN di Sarawak.

"Pemuda Pas sangat komited untuk melahirkan anak sulung Pas dalam pilihan raya akan datang.

"Kita sudah ada calon itu, orang itu yang berucap dalam bahasa Sarawak tadi (Abang Ahmad Kerdee)," katanya yang turut disambut dengan sorakan perwakilan yang hadir.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Pemuda Pas ke-56, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Abang Ahmad Kerdee yang juga Pengarah Panitia Muktamar Pemuda kali ini menyampaikan sebahagian ucapannya dalam bahasa Sarawak sempena Sambutan Hari Gawai.

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk menggempur PRN Sarawak.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Pas ikrar gempur PRN Sarawak]