KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan perasaan optimis bahawa kerajaan Negeri Selangor akan terus kekal dibawah  pentadbiran  PR sepertimana sekarang.

Katanya, walaupun terdapat sedikit perbezaan pendapat di bawah pimpinan PR di Selangor kini, namun perkara itu tidak menjadi sebab untuk PR hilang kuasa di Selangor.

‎"Sekarang masih boleh dibincangkan sebab kita rasa bahawa kerajaan Selangor kekal sebab apabila kita ada kelainan (pendapat) sedikit tetapi berpegang kepada prinsip bahawa kita masih kerajaan yang memerintah di Selangor," katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Wan Azizah berkata demikian ketika diminta untuk mengulas implikasi yang akan berlaku di Selangor, sekiranya Pas mengambil tindakan untuk menarik diri daripada menjadi salah satu rakan komponen PR di Selangor.

Sementara itu ketika mengulas mengenai suasana PR sekarang, Wan Azizah berkata, sekarang adalah tempoh bertenang bagi ketiga-tiga parti komponen tersebut.

"Kita sekarang dalam tempoh bertenang. Kita akan melihat sebagai (tempoh) menyejukkan suasana sekarang untuk ketiga-tiga parti," katanya.

Pada masa kini, masa depan PR di Selangor, bergantung kepada dua wakil rakyat Pas– Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin.

Hasnul sudah memberi gambaran beliau tidak akan mematuhi keputusan parti jika Pas keluar daripada Pakatan.

Jelasnya, beliau mempertahankan kerajaan negeri PR walaupun berlaku dewan tergantung.

‎Buat masa ini, katanya, Pas masih menjadi sebahagian daripada Pakatan dan belum ada lagi keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP serta PKR.

Sebelum ini, ‎Hasnul dan Saari pernah mengingkari keputusan pucuk pimpinan Pas  apabila mereka menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor ketika krisis kepemimpinan Selangor dahulu.

Selepas campur tangan sultan, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengambil alih sebagai MB berikutan pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada parti.

Kini, Pas dan DAP masing-masing memiliki 15 kerusi manakala PKR ada 13, tidak termasuk Abdul Khalid yang kini wakil rakyat Bebas.

Terdapat 56 kerusi dalam Dun, bermakna 29 kerusi diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti mudah.

Jika semua wakil rakyat Pas berundur, DAP dan PKR akan hanya mempunyai 28 kerusi.