Selasa, 26 Mei 2015

Usah Percaya Fitnah, Perkukuh dan Pertahankan Pakatan Rakyat

     


DETIK DAILY


1. Saya merujuk kepada dakwaan yang mengatakan PAS akan mengkhianati Pakatan Rakyat dan masih berhasrat membentuk Unity Government antara PAS dengan UMNO-BN. Untuk kesekian kalinya, saya ingin menegaskan PAS konsisten dengan ketetapan bersama Pakatan Rakyat sepertimana yang telah diputuskan di dalam Muktamar PAS.

2. Usahlah terlalu mudah mempercayai khabar fitnah isu Unity Government yang tidak berkesudahan ini termasuklah apa yang diucapkan oleh Mantan Timbalan Presiden PAS. Bahkan, Majlis Syura Ulamak PAS turut membuat penafian kononnya Majlis Syura Ulamak dan ahlinya ada yang berusaha untuk membentuk Kerajaan Perpaduan PAS dengan UMNO-BN.

3. Adapun berkenaan usaha pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan, saya menegaskan kembali bahawa ia adalah hak demokrasi PAS yang diberikan amanah untuk mentadbir Kelantan sejak 1990 dahulu lagi. Bukankah DAP sebagai parti yang mengaku pejuang demokrasi tulen, sepatutnya menghormati hak dan suara pihak lain yang secara sah mendapat mandat majoriti di Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan. Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan hanya akan dapat dilaksanakan apabila Parlimen memberi kelulusan. PAS tidak ada halangan sekiranya DAP mahupun UMNO-BN menolak Rang Undang-Undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. PAS akan akur dengan dengan apa jua keputusan yang dibuat di Parlimen samada menerima mahupun menolak cadangan pindaan akta tersebut.

4. Saya turut memberi jaminan tidak ada pihak di dalam PAS yang ingin membawa kepada penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional, tetapi sekiranya ada, saya akan menjadi orang pertama yang menentang usaha tersebut. Saya menyeru kepada semua pihak di dalam Pakatan Rakyat agar berjiwa besar dan optimis dalam mempertahankan kerjasama ini. Usahlah terlalu bersifat negatif dan pesimis kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi hubungan yang kian longgar ini. Pada saat UMNO-BN sedang mengalami krisis kepercayaan rakyat, sewajarnya Pakatan Rakyat memperkukuh dan mempertahankan kerjasama yang telah dibina selama ini.

YB Dato’ Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

Tiada ulasan: