Jumaat, 15 Mei 2015

UIA tak hormat kebebasan akademik dan autonomi kampus – DAPSY

rafizi-uia

Roketkini.com


KUALA LUMPUR- Pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tidak berhak untuk campur tangan dalam aktiviti mahu pun forum mahasiswa, kata Pengarah Hal Ehwal Universiti DAPSY, Chow Yu Hui.

Kata Yu Hui dalam satu kenyataan, tindakan pihak keselamatan UIA merampas mikrofon ketika Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berucap amat biadab dan menjatuhkan imej dan reputasi universiti antarabangsa itu.

“Difahamkan forum GST yang diadakan di UIA semalam adalah anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UIA. Penceramah adalah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, wakil UMNO, Lokman Adam dan juga seorang wakil Jabatan Kastam.

“Majlis Perwakilan Pelajar UIA adalah hasil mandat seluruh mahasiswa kampus. Mahasiswa berhak untuk mengadakan forum ilmiah untuk pertukaran idea dan pandangan,” kata Yu Hui mengutuk keras tindakan pentadbiran UIA.

Tambahnya, ini bukan kali pertama ahli politik Pakatan dilarang memasuki universiti tempatan, antaranya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah (MP Lembah Pantai) dan Teresa Kok (MP Seputeh).

“Pihak UIA perlu meminta maaf atas tindakannya menghalang forum GST serta aksi pihak keselamatan UIA yang merampas mikrofon Rafizi Ramli ketika beliau sedang berucap.

“Tindakan sebegini adalah tidak bertamadun dan patut dikutuk sekeras-kerasnya.

“Semua badan mahasiswa wajar diamanahkan untuk mengadakan aktiviti secara bebas selaras dengan semangat autonomi kampus dan kebebasan akademik.

“Hanya dengan budaya ilmiah ini barulah universiti  tempatan akan dipandang sama tinggi dengan universiti terulung luar negara,” kata Yu Hui.

Dalam kejadian di UIA pada malam tadi, pasukan keselamatan kampus merampas mikrofon yang digunakan Rafizi yang sedang berucap dalam satu forum mengenai cukai barang dan perkhidmatan.

Pergelutan kecil turut berlaku ketika pasukan keselamatan bertindak ke atas Naib Presiden PKR itu, sebelum berlaku tolak menolak.

Selepas tindakan itu, kira-kira 300 mahasiswa yang hadir mengejek pihak keselamatan.

Penganjur, terpaksa mengalah untuk mengelakkan tindakan lebih keras dari pihak keselamatan dengan menamatkan acara tersebut. – Roketkini.com


Tiada ulasan: