Khamis, 14 Mei 2015

Tuntutan 6 bank terhadap 1MDB serlah urus niaga Abu Dhabi yang meragukan

 THE MALAYSIAN INSIDER


Deutsche Bank dilaporkan menuntut penjelasan 1MDB berkenaan status cagaran yang digunakan untuk pinjaman AS$975 juta di Singapura. – Gambar Reuters, 14 Mei, 2015.Deutsche Bank dilaporkan menuntut penjelasan 1MDB berkenaan status cagaran yang digunakan untuk pinjaman AS$975 juta di Singapura. – Gambar Reuters. 

 
Langkah 6 bank luar negara diketuai Deutsche Bank menuntut penjelasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkenaan status cagaran yang digunakan untuk pinjaman AS$975 juta (RM3.6 bilion) mencetuskan persoalan urus niaga 1MDB dengan rakan kongsinya di Abu Dhabi.

Ini kerana jumlah tersebut digunakan untuk melupuskan pilihan yang diberikan kepada International Petroleum Investment Co (Ipic) dan anak syarikatnya, Aabar Investment PJS, bagi memperolehi 49% kepentingan dalam penyenaraian aset kuasa 1MDB pada masa hadapan.

Pilihan itu sebahagian daripada perjanjian antara dana pelaburan strategik itu dan Ipic yang jelas memberi kelebihan kepada Ipic, dan ia mencetuskan persoalan sama ada tindakan pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah menjejaskan kepentingan 1MDB.


1MDB pada 2012 mengeluarkan 2 bon berjumlah AS$3.5 bilion untuk membiayai pemerolehan aset kuasa daripada Tanjong PLC dan Genting Berhad, melibatkan anak syarikatnya, 1MDB Energy Ltd dan 1MDB Energy (Langat) Sdn Bhd. Jumlah yang diraih daripada bon itu selepas ditolak perbelanjaan dan yuran kepada Goldman Sachs dan pihak tengah lain, berdasarkan dokumen bon, adalah AS$3.1 billion.

Dua bon itu dijamin secara bersama oleh 1MDB dan Ipic. Namun, jaminan Ipic dibayar pada harga yang sangat mahal kerana 1MDB setuju dengan syarat-syarat berikut:

1) Ipic akan menyimpan RM4.25 bilion, yang merupakan 38% daripada pulangan bersih RM11.16 bilion yang digunakan sebagai cagaran boleh dipulangkan semula kerana memberikan jaminan bersama itu.

2) Ipic diberikan pilihan untuk melanggan sehingga 49% penyenaraian aset kuasa itu pada masa depan. Ipic memindahkan pilihan itu kepada anak syarikatnya iaitu Aabar Investment dan ia kini dikenali sebagai opsyen Aabar.

Mengapakah pengurusan dan ahli lembaga pengarah 1MDB bersetuju dengan syarat yang berat sebelah dan memberi keuntungan kepada Ipic/Aabar ini?

Gaya 1MDB meminjam kelihatan “begitu mahal”kerana tidak masuk akal untuk satu-satu syarikat itu memperoleh sedikit sahaja wang daripada jumlah yang  dipinjamnya.

Ia ibarat meminjam wang daripada lintah darat.

Jika itu tidak cukup teruk, 1MDB turut bersetuju untuk berkongsi sebarang peningkatan harga daripada 49% loji kuasa yang dibelinya menerusi opsyen Aabar.

Dalam penyata kewangan tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2014 yang hanya difailkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dalam bulan November, 1MDB mendedahkan perkara berikut dalam kategori Peristiwa Penting Selepas Tempoh Kewangan Berakhir:

Pertama, ia memaklumkan sejumlah AS$1.22 bilion yang ditebus dari Kepulauan Cayman digunakan untuk membiayai hutang, modal kerja dan bayaran kepada Aabar sebagai "deposit yang boleh dipulang semula" susulan persetujuan untuk melupuskan pilihan tersebut.

1MDB tidak mendedahkan jumlah deposit tersebut tetapi ia boleh dianggap sebagai satu jumlah yang juga mencecah AS$1.22 bilion.

Kedua, ia memaklumkan mendapatkan satu kemudahan pinjaman penyambung berjumlah AS$250 juta untuk membiayai pemerolehan opsyen Aabar tersebut pada Mei 2014.

Ketiga, ia juga mendedahkan pada 22 Mei 2014, 1MDB dan Aabar menandatangani satu perjanjian penyelesaian untuk melupuskan pilihan tersebut.

Tiada perincian diberikan melainkan satu kenyataan yang nilai akhir penyelesaian bergantung kepada penilaian akhir penyenaraian awamnya.

Terakhir, 1MDB mendedahkan pada 2 September 2014 Aabar menulis kepada 1MDB dan memaklumkan ia tidak berhasrat untuk menggunakan pilihan itu dan 1MDB sebagai timbal balas bersetuju "memberi pampasan kepada Aabar pada satu nilai yang dipersetujui berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui sebelumnya", seperti termaktub dalam perjanjian penyelesaian 22 Mei.
Terma dan syarat ini tidak pernah didedahkan kepada umum.

Di sebalik pendedahan ini, seperkara yang tidak didedahkan 1MDB adalah ia menerima pinjaman sebanyak AS$975 juta daripada konsortium yang diketuai Deutsche Bank pada 1 September 2014, sehari sebelum ia menerima surat daripada Aabar.

Konsortium itu termasuklah Abu Dhabi Commercial Bank (ADCB), yang merupakan tempat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bekerja sebelum menyertai 1MDB pada Januari tahun ini.

Ini menimbulkan persoalan sama ada Arul terlibat dalam menyediakan pinjaman itu kepada 1MDB dan sama ada beliau terlibat dalam urus niaga Ipic dan Aabar dengan 1MDB sewaktu masih bekerja di Abu Dhabi.

Kini, peranan Arul sebagai presiden 1MDB tertakluk kepada penelitian terperinci jika terdapat unsur pertembungan kepentingan apabila mengambil kira fakta yang ADCB, Ipic dan Aabar semuanya dimiliki oleh kerajaan Abu Dhabi.

Seperkara yang pasti, pinjaman sebanyak AS$975 juta ini yang perlu dibayar penuh menjelang akhir Ogos sebenarnya digunakan untuk membayar Aabar bagi melupuskan pilihan tersebut.

Pinjaman ini diperoleh dengan mencagarkan akaun Brazen Sky Pte Ltd – anak syarikat milik penuh 1MDB – di Bank BSI Singapura yang kini diragui kerana laporan menyebut asetnya bukanlah seperti yang didakwa 1MDB. – The Edge Financial Daily

Tiada ulasan: