Sabtu, 16 Mei 2015

SPRM beku 1,623 akaun bernilai RM560j di Sabah

MALAYSIAKINI


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 1,623 akaun syarikat dan individu di Sabah berjumlah RM560 juta.

Pengarah Bahagian Siasatannya, Datuk Mohamad Jamidan Abdullah berkata, ia ekoran satu operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan rasuah, penyelewengan subdisi diesel dan penyeludupan rokok dan arak di Sabah telah dilancarkan pada hari ini.

Katanya, SPRM mengetuai operasi dengan kerjasama pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Pasukan Gerakan Am, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

"Serbuan telah dilakukan secara serentak ke atas 43 lokasi di Tawau, Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu, Labuan dan Semporna, yang disyaki berlakunya perbuatan rasuah, aktiviti penyeludupan rokok dan arak, dan penyelewengan diesel bersubsidi, serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan.

"Serbuan ini adalah hasil daripada siasatan yang terperinci dan menyeluruh berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh oleh SPRM bersama agensi-agensi yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Jamidan berkata wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM1 juta juga dirampas oleh SPRM.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009 serta seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Adalah dipercayai bahawa perlakuan rasuah ini telah mengakibatkan kerugian sebanyak berbilion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah," katanya lagi.

Kejayaan operasi itu, tambahnya adalah kerana kerjasama erat di kalangan pegawai dan kakitangan agensi-agensi yang terlibat.

Pada hari Selasa, katanya, SPRM dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan persekutuan dan negeri telah melancarkan serbuan ke atas 49 lokasi di seluruh Sarawak bagi membanteras kegiatan rasuah, pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta perbuatan mengelak cukai oleh pemilik syarikat  pembalakan.

"Operasi yang dinamakan sebagai "Ops Gergaji" itu telah membekukan sebanyak 519 akaun syarikat dan individu bernilai hampir RM700 juta," katanya.


Tiada ulasan: