Jumaat, 15 Mei 2015

SPRM akan panggil pemilik kilang papan

MALAYSIAKINI


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita lebih 1,570 batang kayu balak bernilai hampir RM1 juta dalam 'Ops Gergaji' yang memasuki hari ketiga hari ini, hasil serbuan di 49 lokasi di enam kawasan di seluruh Sarawak.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohamad Jamidan Abdullah berkata pihaknya akan memanggil pemilik syarikat pembalakan dan kilang-kilang papan yang diserbu itu untuk diambil keterangan.

"Siasatan akan dijalankan untuk mengetahui punca kilang papan yang diserbu itu menerima atau dibekalkan dengan kayu balak yang ditebang secara tidak sah," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamad Jamidan berkata sejak Ops Gergaji dilancarkan, SPRM telah memanggil 14 orang yang terdiri daripada pengarah dan pengurus kilang papan serta kolam balak yang diserbu itu bagi membantu siasatan.

Ops Gergaji membabitkan kira-kira 400 pegawai dan anggota SPRM, kerajaan Sarawak, Polis Diraja Malaysia termasuk Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Setakat semalam, SPRM telah membekukan 405 akaun syarikat serta individu bernilai RM600 juta. - Bernama


 


Tiada ulasan: