Selasa, 26 Mei 2015

SPR: Keputusan merayu diketahui minggu ini

MALAYSIAKINI


 


Keputusan sama ada Jabatan Peguam Negara akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung arahan semakan semula persempadanan bahagian pilihan raya negeri Sarawak dijangka diketahui minggu ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata SPR menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara sama ada untuk merayu keputusan pada 15 Mei lalu, yang mengarahkan SPR mengeluarkan semula notis tentang persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak dengan mematuhi peruntukan dalam Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Peguam Negaralah akan tentukan untuk rayu atau tidak... beliaulah yang akan berhujah. Mungkin esok atau petang ini kita akan tahu (keputusan merayu atau tidak)," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 dan Hari Inovasi SPR 2015 di Putrajaya semalam.

Beliau berkata tindakan SPR selanjutnya bergantung kepada keputusan sama ada rayuan akan difailkan atau tidak oleh Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata jumlah representasi bantahan sebanyak 86 yang diterima adalah yang tertinggi dalam sejarah mengendalikan proses kajian semula persempadanan di Sarawak.

Beliau berkata representasi bantahan itu diterima pada pameran kali pertama dan kedua dari pengundi di seluruh negeri termasuk kawasan pedalaman seperti Baram, Serian, Simunjan, Saratok, Mukah, Kapit, Hulu Rajang serta Sarikei.

Daripada jumlah itu, Abdul Aziz berkata, 51 representasi bantahan memenuhi peruntukan seperti dalam notis Syor-syor Persempadanan Semula, masing-masing bertarikh 5 Januari dan 30 Mac.

Proses kajian semula persempadanan mengambil masa kira-kira enam bulan sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan pindaan Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak untuk pertambahan bilangan kerusi DUN daripada 71 kepada 82, katanya.

"Kita sangat puas hati kerana ini menunjukkan notis yang dikeluarkan oleh SPR difahami oleh orang ramai dan mesej pada notis itu sampai kepada penduduk di kawasan terpencil yang terpaksa menaiki bot untuk sampai," katanya.

Di majlis itu, sebanyak 58 warga kerja SPR menerima APC 2014, 65 memperoleh sijil kepujian manakala 31 lagi yang akan bersara tahun ini menerima sijil persaraan. - Bernama


 

Tiada ulasan: