Ahad, 3 Mei 2015

Shabery ikrar selesai segera isu kad prabayar

MALAYSIAKINI



 
 
 
Usaha mencari penyelesaian kepada isu kad prabayar harus menjurus kepada kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
  
Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata hasil perbincangan dengan semua pihak berkenaan haruslah bersifat 'menang-menang' yang memanfaatkan semua pihak sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk tindakan selanjutnya.
  
"Kami akan cari jalan terbaik bagaimana mencari kaedah-kaedah dan pilihan yang sesuai, dan akhirnya menguntungkan rakyat dan negara.
  
"Dan, saya mahukan pihak telco (syarikat telekomunikasi) juga beri kerjasama serta memahami sentimen rakyat, kerana ini perkara yang tak boleh saya kompromi," katanya kepada pemberita di pusat media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Permatang Pauh, hari ini.
  
Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan segera mengadakan perbincangan yang komprehensif dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Komunikasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta syarikat-syarikat telekomunikasi.

Ahmad Shabery berkata perbincangan dan kajian juga harus dibuat dengan teliti kerana proses  mencapai penyelesaian adalah agak kompleks, dan ia perlu mengambil kira kesulitan yang dialami semua pihak.
  
"Sebagaimana kita tahu, ini bukan soal 60 sen (penambahan daripada harga asal kad prabayar) atau enam peratus (nilai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan), kerana ia melibatkan banyak pihak.
  
"Kad prabayar atau tambah nilai prabayar merupakan suatu ekonomi tersendiri...ia melibatkan akar umbi yang banyak dalam sistem kita. Ia seperti wang dan syarikat telco (telekomunikasi) bukannya menjual secara langsung tetapi ia mempunyai lapisan tertentu yang semuanya mesti diambil kira dalam soal ekonomi prabayar," jelas beliau.
  
Sebagai contoh, katanya, kebanyakan ejen penjual kad prabayar di peringkat bawahan sudah membeli baucar dengan nilai terdahulu dan agak sukar untuk mereka menjual kepada pelanggan sekiranya nilainya berubah mendadak.
  
"Ini antara perkara yang perlu kita teliti kerana ia tidak boleh diubah dalam masa sehari dua," katanya.

Ditanya mengenai kekeliruan yang timbul akibat kenyataan berbeza daripada agensi-agensi terlibat, Ahmad Shabery berkata semua pihak mengeluarkan kenyataan berdasarkan dasar dan profesionalisme dalam tugas masing-masing.
  
"SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sebenarnya memberitahu secara teknikal bahawa proses untuk mengubah sistem ini tidak boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat...itu sahaja," kata beliau.
  
Sebelum ini, media melaporkan Kastam mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April.
 
Bagaimanapun, arahan iu yang sepatutnya berkuat kuasa semalam, ditangguhkan selepas Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie menyatakan pada Rabu bahawa isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan kadar dikenakan GST.
  
Penyelarasan harga kepada kadar pra GST itu agak mustahil untuk dilaksanakan bermula 1 Mei seperti yang diminta kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula kepada sistem, katanya.

Ditanya mengenai pilihan yang akan diambil kira, Ahmad Shabery berkata antara cadangan itu ialah kemungkinan meminta syarikat telekomunikasi menyerap cukai 6 peratus itu.
  
Namun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengkaji peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan perkara itu dapat dilakukan.
  
Selain itu, katanya, kementerian akan mencadangkan kepada kesemua syarikat telekomunikasi untuk menyalurkan keuntungan yang diperoleh kepada golongan sasar sekiranya mahu harga selepas GST dikekalkan.
  
"Mungkin mereka dapat memikirkan pakej yang lebih baik lagi untuk golongan yang memerlukan," katanya.-Bernama
 

Tiada ulasan: