Isnin, 11 Mei 2015

Semua PBT di Johor bebas GST

 
Mesyuarat EXCO telah bersetuju supaya semua PBT memulangkan semula GST yang telah dikutip untuk tempoh dua minggu pertama April.


gst-johor



PETALING JAYA: Kerajaan Johor telahpun mengarahkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu untuk tidak mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi semua perkhidmatan kepada rakyat.

EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Latiff Bandi berkata, semua PBT di negeri itu telah menyerap GST bagi setiap perkhidmatan kepada rakyat selepas dua minggu cukai itu diperkenalkan, lapor The Star Online.

Katanya, berdasarkan anggaran, kerajaan negeri akan mengutip RM3 juta setahun menerusi GST yang dikenakan oleh PBT bagi perkhidmatan sewaan, bayaran meletak kenderaan, yuran proses dan menukar hak milik dan jenis kegunaan.

‘Kerajaan Negeri akan menyerap GST dan membayar balik kepada Jabatan Kastam untuk elak rakyat menanggung beban,” katanya pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-14 Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) pada Ahad.

Baru-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar menyifatkan langkah mengenakan GST terhadap perkhidmatan kerajaan sebagai tidak masuk akal.

Abdul Latif berkata, mesyuarat EXCO juga telah mengarahkan semua PBT memulangkan semula GST yang telah dikutip untuk tempoh dua minggu pertama April.

Katanya, pemintaan supaya pengecualian GST bagi semua perkhidmatan kerajaan telah disampaikan kepada Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika pertemuan UMNO dengan Perdana Menteri pada Jumaat lalu.

“Kerajaan Johor telah meminta supaya semua perkhidmatan PBT kepada rakyat dikecualikan GST dan beliau (Abdul Rahman) memberi jaminan akan membawa perkara ini dalam Mesyuarat Kabinet,” katanya.

Tiada ulasan: