Rabu, 13 Mei 2015

Selangor masih kaji untuk serap GST

 
Selangor mempunyai 12 PBT menyebabkan kerajaan negeri perlu melakukan penelitian implikasi kewangan yang terpaksa ditanggung sebelum sebarang keputusan.


azmin,serap,gst



SHAH ALAM : Kerajaan Selangor masih menjalankan kajian untuk mengecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi setiap perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di negeri itu.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau telah mengarahkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) menjalankan kajian dan semakan impilikasi kewangan jika kerajaan negeri menyerap GST.

Katanya, kerajaan juga akan menulis surat kepada Kementerian Kewangan bagi memohon pengecualian GST untuk setiap perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kita membincangkan perkara ini dan kerajaan negeri akan menulis surat kepada Kementerian Kewangan memohon pengecualian GST untuk perkhidmatan kerajaan,” katanya selepas Program Luncheon Talk Ulasan Buku “Khalifah Umar Abdul Aziz” pada Rabu.

Azmin berkata, Selangor mempunyai 12 PBT menyebabkan kerajaan negeri perlu melakukan penelitian implikasi kewangan yang terpaksa ditanggung sebelum sebarang keputusan dibuat berbanding Pulau Pinang yang hanya dua PBT.

Pada Isnin lalu, Kerajaan Pulau Pinang dan Terengganu mengikut jejak langkah Johor apabila mengumumkan menyerap GST bagi semua perkhidmatan kerajaan.

Menerusi serapan GST itu, Kerajaan Johor menanggung sebanyak RM3 juta setahun, Terengganu (RM1.6 juta) dan Pulau Pinang sebanyak RM21.4 juta.

Jumlah itu dibayar balik oleh tiga kerajaan negeri itu kepada Jabatan Kastam.

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili dalam masa terdekat bagi membincangkan status Langat 2.

“Saya telahpun menyediakan beberapa hujah untuk saya bincang dengan Menteri pada awal minggu hadapan dan kita berharap dengan ada perbincangan ini kita akan dapat jalan penyelesaian,” katanya.

Tegasnya, kerajaan negeri menyokong pembangunan Langat 2 tetapi projek persekutuan itu perlu selaras dengan garis panduan yang ditetapkan.

“Kita perlu Langat 2 dan kita mahu ia dilaksanakan,” tegasnya.

Tiada ulasan: