Selasa, 26 Mei 2015

'Saya orang pertama akan tentang k'jaan perpaduan'

MALAYSIAKINI


 


PAS mahu ditamatkan tuduhan bahawa ia akan mengkhianati Pakatan Rakyat dan masih berhasrat untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Ini ekoran kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bahawa Pakatan boleh mati dalam masa dua minggu jika mereka yang mahukan kerajaan perpaduan, menang dalam pemilihan PAS.

Manakala anaknya, setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata hati Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah bersama Umno.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan telah disangkal berulangkali oleh parti itu, termasuk oleh Majlis Syura yang anggotanya dituduh bersekongkol dengan Umno.


"Saya turut memberi jaminan tidak ada pihak di dalam PAS  yang ingin membawa kepada penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional, tetapi sekiranya ada, saya akan menjadi orang pertama yang menentang usaha tersebut.," kata Mahfuz dalam satu kenyataan.

"Saya menyeru kepada semua pihak di dalam Pakatan Rakyat agar berjiwa besar dan optimis dalam mempertahankan kerjasama ini.

"Usahlah terlalu bersifat negatif dan pesimis kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi hubungan yang kian longgar ini.

"Pada saat Umno-BN sedang mengalami krisis kepercayaan rakyat, sewajarnya Pakatan Rakyat memperkukuh dan mempertahankan kerjasama yang telah dibina selama ini," tambahnya.

Beliau menambah bahawa keputusan kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud adalah hak demokrasi PAS yang telah diberi amanah untuk mentadbir negeri itu sejak tahun 1990.

Ia tiada kaitan dengan kerjasama dengan Umno, katanya, dan Umno atau DAP boleh memilih untuk menolak Rang Undang-undang (RUU) Persendirian presiden PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah untuk membuka jalan bagi pelaksanaan hudud.

"PAS akan akur dengan apa jua keputusan dibuat di Parlimen sama ada menerima mahupun menolak cadangan pindaan akta tersebut," katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menggesa DAP menghentikan menyerang PAS dan Hadi.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli juga menggesa DAP untuk menunggu keputusan pilihan pemilihan pucuk pimpinan PAS pada 4 Jun sebelum mengulas.
 
 

Tiada ulasan: