OLEH YASMIN RAMLAN
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli
mengatakan beliau hanya diberikan masa 10 minit untuk berucap dalam satu
forum mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di Universiti
Islam Antarabangsa (UIA) sebelum dirampas mikrofon oleh pihak
keselamatan, malam tadi.
Menurut ahli Parlimen Pandan itu, mikrofon tersebut dirampas kerana
pihak keselamatan UIA yang diketuai anggota polis Bukit Aman
Superintendent Razali Mohamad cuba memaksa beliau untuk beredar dari
kawasan tersebut.
"Dalam beberapa saat itu tanpa memaklumkan apa-apa kepada saya, orang
itu merampas mikrofon sehingga tercabut bateri mikrofon. Ini berlaku di
hadapan beratus-ratus siswa UIA yang hadir dan menimbulkan suasana
tegang.
"Beberapa daripada mereka membuat bising dan mengkritik kononnya
tindakan saya tidak mencerminkan seorang ahli Parlimen. Saya dimaklumkan
kemudiannya yang orang-orang tidak dikenali ini adalah anggota-anggota
polis Cawangan Khas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, setibanya di UIA, Lokman Adam yang merupakan salah seorang panel forum tersebut sudah pun berucap.
"Pihak MPP (majlis perwakilan pelajar) UIA memaklumkan bahawa mereka
akan meneruskan program. Setelah 15 minit Lokman Adam berucap, seorang
pegawai Keselamatan UIA tampil mengumumkan pihak pengurusan teratas UIA
sudah membuat keputusan yang program boleh diteruskan tetapi hanya
Lokman Adam dibenarkan berucap," katanya.
Katanya, beliau mendapat tahu program itu dibatalkan hanya pada
saat-saat akhir, di mana Rektor UIA Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin
mengarahkan ia dibatalkan.
"Menjelang jam 8 malam, timbul kekeliruan apabila saya dimaklumkan
pihak UIA bersetuju agar program itu diteruskan apatah lagi kerana wakil
Umno, Lokman Adam pun mahu hadir juga.
"Saya dimaklumkan sejak awal yang pihak keselamatan UIA mengadakan
sekatan jalan raya untuk menyemak setiap kereta yang masuk UIA," katanya
yang mengambil keputusan menaiki motosikal untuk memasuki universiti
itu tanpa ditahan pihak keselamatan.
Rafizi berkata, tindakan pihak keselamatan UIA itu mengundang kemarahan
dan kekecewaan beratus-ratus siswa yang hadir dan menyebabkan Lokman
kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti berucap selepas 15 minit
berucap serta minta program tersebut dibatalkan.
Lokman bagaimanapun menyalahkan tindakan pelajar di universiti tersebut
yang mendakwa mereka tidak mendapat kelulusan daripada pihak atasan.
"Pelajar-pelajar ini, mereka kena tahu prosedur-prosedur. Pertamanya,
mereka kena mendapat kelulusan. Kena dapa hitam putih kelulusan. Baru
mereka boleh naik (tampal) poster. Tapi bila mereka dah naikkan poster
dulu, baru minta kelulusan, kalau saya jadi pentadbiran universiti pun,
saya rasa perkara itu macam tak kena," katanya apabila dihubungi The
Malaysian Insider.
Apabila ditanya sama ada program itu dibatalkan disebabkan panel yang
hadir merupakan ahli politik, beliau menjawab: "Saya tak dengarlah
alasan itu diberikan oleh pihak pengurusan universiti. Universiti tak
cakap disebabkan speaker. Saya pernah berdebat dengan Ong Kian Ming di
universiti yang sama, tak ada gangguan pun."
Ini bukanlah kali pertama pengurusan UIA membatalkan program ilmiah di
saat akhir apabila ia melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Bulan lalu, sebuah forum kesederhanaan bertajuk “Everything in
Moderation” yang sepatutnya berlangsung di UIA turut dibatalkan pada
saat akhir tanpa sebarang sebab diberikan pihak universiti yang juga
penganjur bersama program itu.
Forum itu dijadualkan menampilkan beberapa tokoh, termasuk Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan, Exco Kerajaan Negeri
Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad dan pakar undang-undang Prof Datuk Dr Shad
Saleem Faruqi.
Forum tersebut diadakan bertujuan membincangkan mengenai isu
kesederhanaan dan keharmonian yang semakin mencabar di kalangan
masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan