Jumaat, 22 Mei 2015

RMK11 perlu tangani kenaikan kos sara hidup

MALAYSIAKINI


 


Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) perlu menangani masalah utama rakyat iaitu peningkatan kos sara hidup.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mahukan usaha dipertingkatkan untuk membantu menambah pendapatan isi rumah.

Penyelia sebuah agensi kesihatan swasta, Nor Eizaty Matshum, 36, berpendapat masalah kos sara hidup perlu ditangani kerana ia memberi kesan kepada taraf kehidupan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.

Satu keadaan perlu diwujudkan supaya kakitangan awam dan swasta bukan sahaja dapat menikmati gaji setiap bulan, malah dapat menyimpannya untuk masa depan, katanya ketika ditemui sebagai reaksi kepada pembentangan pelan pembangunan lima tahun itu di Dewan Rakyat.

Dalam menyambut baik usaha melonjakkan kumpulan berpendapatan 40 peratus terbawah kepada kumpulan kelas pertengahan, eksekutif swasta Muhd Fikrie Fahmi, 30, berkata faktor kesan kos sara hidup dan inflasi terhadap sasaran pendapatan bulanan purata RM5,000 isi rumah yang ingin dicapai pada 2020 perlu diambil kira.

"Sasaran itu kelihatan realistik ketika ini namun dikhuatiri faktor seumpama itu mungkin menyebabkan nilai pendapatan itu akan menjadi seolah-olah sama dengan nilai RM3,000 sekarang," katanya.

Bagi pelajar Lai Yew Chong, 25, kerajaan perlu menekankan aspek pemantauan harga barang runcit bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup rakyat. - Bernama


 

Tiada ulasan: