Khamis, 21 Mei 2015

Rasuah: Ikan bilis terjerat, jerung dilepas?

Oleh: NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memantau tindak tanduk pemimpin yang memiliki kekayaan luar biasa sejak dulu lagi bukan sehingga disuruh.

Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata,  SPRM ‘lambat’  mengambil tindakan kerana rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap badan terbabit.

“Rakyat sentiasa mengawasi tindak tanduk pemimpin khususnya menteri dalam konteks kekayaan luar biasa. SPRM sebenarnya lambat memberi fokus kepada isu ini,” katanya kepada Selangor Kini.
logo SPRM
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas  berkenaan kenyataan SPRM bahawa undang-undang baru perlu digubal supaya mereka yang mempuyai kemewahan melampau wajib mengisytihar harta.

Suee Lim berkata, bagaimanapun langkah SPRM itu sedikit sebanyak dapat memantau dan mencegah elemen rasuah daripada terus menular, namun berharap kes dikendalikan telus serta adil.

” Kenyataan itu sebenarnya langkah permulaan baik dan memberi keadilan kepada semua. Namun, kita mahu SPRM kendalikan dengan adil dan tidak pilih kasih atau pilih bulu ,” katanya.

Katanya, persepsi awam yang beranggapan SPRM hanya bertindak terhadap ‘ikan bilis’ harus dipulihkan melalui tindakan adil dan drastik.

ngsueelim“Ia demi keyakinan rakyat terhadap peranan SPRM dalam usaha membanteras rasuah. Semua harus diadili sama ada ikan bilis atau ikan jerung,” katanya.

Minggu lalu, SPRM menyatakan sedang mengawasi setiausaha peribadi dan politik menteri kabinet berhubung dakwaan mereka hidup di luar kemampuan masing-masing.

Sementara itu, Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir pula berkata, SPRM perlu merangka undang-undang baru itu sewajarnya.

“Adakan  proses konsultasi dengan pelbagai pihak termasuk orang ramai bagi memastikan pendekatannya menyeluruh,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: