Jumaat, 15 Mei 2015

Pemilihan PAS: Tuan Ibrahim Sah Cabar Mat Sabu

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
Tuan Ibrahim Tuan Man
 
 
 
PETALING JAYA: Kedudukan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS bakal dicabar apabila Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan untuk turut sama merebut jawatan nombor dua parti itu.

Menurut Tuan Ibrahim, keputusan untuk bertanding bagi jawatan berkenaan dibuat bagi menghargai pencalonan dan kepercayaan yang diberikan PAS Kawasan terhadapnya.

"Setelah meneliti jumlah pencalonan yang diterima dan demi merai PAS kawasan yang mencalonkan saya, maka saya akur dan dengan rendah diri menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar PAS ke-61.

"Atas dokongan kalian, saya bersedia menggalas amanah yang berat ini bersama-sama kalian sekiranya diberi peluang oleh perwakilan di Muktamar untuk membawa PAS ke persada yang lebih tinggi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Pada pemilihan PAS kali ini, Tuan Ibrahim dianggap calon popular apabila dilaporkan menerima 94 pencalonan berbanding Mohamad atau Mat Sabu yang hanya mendapat 12 pencalonan.

Dua lagi calon yang layak merebut jawatan timbalan presiden ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Tuan Ibrahim dan Mohamad sebelum ini pernah berhadapan saingan tiga penjuru bagi merebut jawatan yang sama dalam Muktamar PAS ke-57 pada 2011 bersama bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Selain itu Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam pemilihan kali ini supaya menjaga adab dan tidak bertindak keterlaluan.

"Kepada yang akan bertanding di Muktamar ke-61, saya mengharapkan agar kita semua memelihara akhlak jamaah.

"Pelihara ukhuwah kita, jangan melampau dalam keghairahan untuk memenangi apa jua jawatan," katanya.

Pemilihan PAS tahun ini bakal menyaksikan hampir semua jawatan termasuk kedudukan Presiden PAS akan dipertandingkan.

Pada Khamis, bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang mengesahkan bahawa beliau akan mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan Presiden PAS.

Muktamar PAS Pusat akan berlangsung di Kuala Selangor pada 4 hingga 6 Jun depan.

Tiada ulasan: