Ahad, 31 Mei 2015

'PAS kecewa menaruh harapan pada Umno'

MALAYSIAKINI


 


Andainya PAS masih menaruh harapan untuk Umno membantu usaha parti itu membolehkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud dibentang di parlimen, parti itu akan kecewa.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, di sebalik janji yang ditabur Umno untuk PAS, rang undang-undang itu masih belum dapat dibentangan.

Kata Lim, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga sebenarnya berdepan dengan dilema antara mahu memuaskan hati ahli parlimen PAS dan mengelakkan kemarahan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak yang menentang rang undang-undang berkenaan.

"Pilihan Najib adalah jelas. Dalam keadaan ini, bukan mengejutkan apabila usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak muncul dalam kertas aturan parlimen untuk sidang yang berlangsung kini," katanya.

Abdul Hadi mengemukakan usul berkenaan untuk kali pertama dalam sidang lalu (April) tetapi dimaklumkan kemudian bahawa ia akan dibawa ke sidang bulan ini.

Lim berkata, Najib perlukan sokongan daripada 48 ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk terus berkuasa ketika pentadbirannya dikecam teruk oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, pada masa sama, kata Lim pakar strategi Najib berjaya menyebabkan kerosakan kepada Pakatan Rakyat apabila PAS menjauhkan diri daripada gabungan pembangkang itu kerana isu hudud berkenaan.


Tiada ulasan: