Khamis, 14 Mei 2015

Pakatan Rakyat garis 10 perkara selesaikan masalah pengangkutan di Johor

dun_johor

 Roketkini.com


NUSAJAYA: Pakatan Rakyat (PR) Johor hari ini membentangkan kertas kerja dasar 10 perkara sebagai asas kepada perbincangan lebih menyeluruh bagi menyelesaikan masalah pengangkutan di negeri ini.

Bercakap bagi pihak PR Johor, Wong Shu Qi berkata, ini kerana Pelan Induk Pengangkutan Negeri Johor (PIPA) yang menyeluruh perlu dilaksanakan segera bagi menyelesaikan masalah pengangkutan yang kian serius di bandaraya Johor Bahru

ADUN Senai itu berkata, perkembangan pesat di Wilayah Iskandar Malaysia serta hubungan yang rapat dengan Singapura memerlukan persediaan untuk menampung peningkatan trafik.

“Pada tahun 2012 sahaja, terdapat 173,000 buah kenderaan bermotor baru didaftarkan di negeri Johor. 95 peratus daripada jumlah tersebut merupakan kereta dan motosikal.

“Johor merupakan negeri yang mempunyai jumlah kenderaan bermotor terbanyak di Malaysia, selain jumlah ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, iaitu kira-kira 3.1 juta.

“Daripada jumlah tersebut, 1.3 juta merupakan kereta dan 1.6 juta merupakan motorsikal dan populasi di Johor adalah seramai 3.5 juta orang,” kata Shu Qi.

Ujarnya, PIPA yang dicadangkan kerajaan negeri tidak memadai sebagai peta laluan (routemap) untuk pembangunan Johor dalam tempoh sepuluh tahun yang akan datang.

“Kerajaan negeri tidak boleh tumpu kepada aspek pengangkutan awam sahaja dalam perancangan pengangkutan tanpa mengambil kira faktor-faktor lain yang akan diterangkan dalam kertas dasar pengangkutan ini,” ujar Shu Qi. – Roketkini.com

Cadangan-cadangan dalam kertas dasar pengangkutan negeri Johor ini adalah seperti berikut:

1. Menubuhkan Dana Pengangkutan Negeri Johor daripada perkongsian hasil VEP 50-50 antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Johor. Dana tersebut harus digunakan untuk membangunkan infrastruktur pengangkutan termasuk pengangkutan awam, merangkumi keseluruhan negeri Johor.

2. Memansuhkan tembok tol di Selat Tebrau bermula dengan pengurangan kadar tol di kedua-dua laluan Johor-Singapura.

3. Mengurangkan kadar tol bagi kenderaan kelas 2 dan 3 di Linkedua sebagai insentif kepada kenderaan kategori tersebut seterusnya menyuraikan trafik daripada Tambak Johor.

4. Perancangan pengangkutan negeri Johor perlu mengambil kira trafik Johor-Singapura.

5. Kerajaan perlu berunding dengan pihak Singapura agar kadar tol diturunkan di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas setimpal penurunan kadar tol oleh pihak Malaysia.

6. Kaunter imigresen di Tuas perlu ditambah bagi mengendalikan peningkatan trafik kenderaan berat

7. Pakatan Rakyat Johor menyokong pembinaan laluan ketiga Johor-Singapura tetapi projek tersebut haruslah dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka berasaskan prinsip CAT.

8. Projek Landasan Kereta Api Berkembar perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum kerajaan melancarkan projek HSR yang baru.

9. Rangkaian bas awam perlu dirancang secara serentak dan selaras dengan RTS dan HSR bagi memastikan masalah jurang batu pertama dan batu terakhir (first and last mile gap) sistem transit dapat diatasi.

10. Negeri Johor perlu mempunyai suatu Pelan Induk Pengangkutan (Johor Transport Masterplan) yang merangkumi aspek trafik, infrastruktur pengangkutan termasuk pengangkutan awam, penggunaan tanah (land use), perjalanan antara bandar dan wilayah termasuk Singapura, aspek kewangan serta perancangan masa depan.

Tiada ulasan: