Ahad, 31 Mei 2015

Nakhaie dakwa Ahmad diperalat untuk tentang Hadi

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic



KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad berkata Ahmad Awang sengaja dipergunakan oleh sesetengah pihak di dalam parti Islam itu untuk melemahkan sokongan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Nakhaie juga tidak menyangkal kemungkinan ia didalangi oleh pihak luar daripada PAS.

Katanya, Ahmad 'sengaja' ditampilkan dengan sebagai pesaing Hadi bagi jawatan Presiden PAS dalam pemilihan parti akan datang supaya sedikit sebanyak dapat mengurangkan sokongan terhadap pemimpin parti itu.

"Sebab itulah saya katakan bahawa Ahmad hanya diperalatkan oleh penentang Hadi. Mereka mahu seseorang yang boleh melawan Hadi dengan berimej ulama kerana mereka sedar pengaruh golongan ulama masih kental di dalam PAS," katanya ketika diwawancara oleh Antarapos, baru-baru ini.

Meskipun cakap-cakap wujud bahawa Ahmad akan menjadi seseorang yang mampu merapatkan kembali jurang antara PAS-DAP, Nakhaie percaya bekas Pesuruhjaya PAS Perak itu masih tidak mampu menandingi kredibiliti Hadi.

"Hadi mempunyai imej yang lebih baik dari segi pengaruhnya yang lama di dalam PAS. Malah penyokongnya dianggap apabila mempertahankan Hadi bermakna turut mempertahankan golongan ulama.

"Walaupun Ahmad juga berimej ulama, tetapi penyokong tidak nampak Ahmad di dalam kumpulan yang mempertahankan kepimpinan ulama," ujar Nakhaie yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Menyentuh pemilihan PAS yang akan berlangsung Jun depan, Nakhaie bagaimanapun mempunyai pendapat yang sedikit berbeza.

Walaupun setuju pendapat pertembungan itu di antara golongan profesional dan ulama, Nakhaie turut mendakwa wujud juga pihak yang menentang usaha golongan ulama yang mahu bekerjasama dengan Umno-Barisan Nasional.

"Sebenarnya penentangan ini antara golongan ulama yang mahu bekerjasama dengan Umno-BN vs golongan profesional yang mahu memperkuatkan PR untuk menjatuhkan BN.

"Namun oleh kerana tindakan Hadi yang renggang dengan PR, maka ia satu kerugian dan kemungkinan juga pembangkang tidak dapat mengalahkan BN untuk ke Putrajaya," tegasnya

Tiada ulasan: