Rabu, 27 Mei 2015

Najib jawab lagi kritikan GST, dakwaan Tun M

  • Najib Mahathir
 1 / 1 
SINAR HARIAN


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab lagi kritikan yang dibuat terhadap beliau dan kerajaan, dengan memberi fokus kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan dakwaan yang disuarakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam catatan terbaru beliau melalui blog NajibRazak.com, Najib berkata: "Ia adalah sambungan kepada FAQ (soalan lazim) sebelum ini."   

Pada 17 Mei, Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan berkenaan serta respons beliau melalui blog itu, antaranya tuduhan berkaitan isu Altantuya dan 1MDB.

Dalam respons beliau mengenai kritikan terhadap GST, Najib berkata: "Saya faham bahawa beberapa kebimbangan disuarakan mengenai GST yang diperkenalkan.   

"Bagaimanapun, sebagai perdana menteri, adalah tanggungjawab saya untuk membuat keputusan yang betul bagi seluruh rakyat Malaysia, walaupun ia mungkin kelihatan sukar ketika ini.

"Kini, hanya seorang dalam setiap 10 orang rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan dan oleh itu, adalah penting bagi kami meluaskan asas percukaian demi kebaikan ekonomi untuk jangka panjang.

"Lagi pun, adalah penting untuk dimaklumkan bahawa 23 peratus daripada hasil kerajaan ketika ini datangnya daripada minyak dan gas.

"Seperti yang dapat kita saksikan daripada kejatuhan teruk harga minyak global baru-baru ini, Malaysia tidak mampu mengekalkan pertumbuhan dan pembangunannya berdasarkan aliran hasil itu semata-mata.

"Inilah sebabnya kami mengumumkan satu pembaharuan terhadap sistem  percukaian, dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

"Pengenalan GST akan membantu kita dalam membina ekonomi yang lebih kukuh, lebih lestari dan telus: Ia akan mengurangkan defisit kita, membantu kita melabur untuk masa depan kita dan menolong memacu ke hadapan pembangunan negara kita.- Bernama


Tiada ulasan: