Isnin, 25 Mei 2015

Mampukah Lim Kok Wing Pulihkan Imej Najib?

shahbudindotcom

 

Menyedari kepimpinannya semakin dipertikai dan namanya tidak lagi seharum dulu, Najib Razak akhirnya melantik perunding pengiklanan terkenal, Lim Kok Wing sebagai penyelaras program khas untuk memulihkan imejnya di mata rakyat.

Difahamkan tugas utamanya ialah mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap Najib dengan antaranya melakukan program jelajah ke seluruh negara dan mendengar sendiri aduan rakyat terhadap kerajaan dan kepimpinannya.

Dengan perlantikan ini juga secara langsung mengesahkan Najib masih cuba bertahan dengan jawatannya dan tidak sesekali mahu mengalah di sebalik desakan makin kuat mahukannya berundur demi menyelamatkan negara dan memberi harapan lebih baik kepada BN mengekalkan kuasanya dalam pilihanraya akan datang.

Walaupun tugas mempromosi bukan baru bagi Lim Kok Wing di mana sebelum ini juga pernah terlibat membantu kerajaan dalam kempen anti merokok "Tak Nak", Rakan Muda serta kempen pilihanraya bagi Nelson Mandela, tetapi barangkali usaha memulihkan semula imej Najib ini merupakan tugas yang paling sukar baginya.

Ini kerana Najib bukan saja berdepan penolakan daripada rakyat yang semakin membengkak, bahkan keyakinan ahli dan pimpinan UMNO sendiri mulai terhakis terhadapnya. Berdasarkan dapatan di peringkat akar umbi UMNO dan dilihat daripada reaksi pemimpin UMNO dalam video melibatkan Muhyiddin Yassin yang tersebar luas, terbukti kemahuan Najib berundur dan keperluan kepada perubahan bukan lagi perkara asing.

Lebih dari itu, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang masih berpengaruh dan disukai rakyat adalah "hujung tombak paling tajam" yang mahu menyingkirkannya ketika ini.

Semua penolakan terhadap Najib pula secara umumnya berkisar kepada beberapa isu pokok yang menjdi bualan rakyat seperti 1MDB, pembunuhan Altantuya, hal berkaitan Rosmah, GST, beban hutang negara, perbelanjaan mewah keluarganya dan beberapa aspek yang lain.

Isu-isu tersebut jugalah yang membuatkan Tun Mahathir menarik balik sokongannya terhadap Najib dan kini turut menjelajah ke seluruh bagi memaksanya berundur.

Dengan tugas berat yang perlu dilakukan oleh Lim Kok Wing untuk memerah idea memulihkan imej Najib  yang remuk teruk itu, sudah tentu ganjaran yang perlu dibayar daripada wang rakyat juga  lumayan jumlahnya.

Najib ketika ini dilihat umpama kereta yang sudah rosak teruk dan hampir "total loss" keadaannya serta tidak diyakini lagi mampu untuk bergerak jauh. Memulih dan mencantikkannya tidak dapat dielakkan daripada keperluan biaya yang besar. Membaiki dan memulihkannya juga mungkin tidak berbaloi berbanding membeli kereta baru.

Soalnya, mampukah imej Najib dipulihkan dan sokongan rakyat dikembalikan dengan bantuan Lim Kok Wing ini? Bagaimanakah agaknya pendekatan dan "silap mata" yang bakal diperkenalkan oleh perunding pengiklanan terkenal itu untuk menutup wajah dan imej Najib daripada bayangan hitam 1MDB, Altantuya, pemborosan Rosmah, GST dan lain-lainnya yang selalu bermain-main di fikiran rakyat?

Mampukah selepas dipulihkan dan dicantikkan, Najib berubah menjadi kereta baru yang lebih selesa digunakan untuk perjalanan yang jauh? 

Terpesonakah orang kampung dan makcik Felda untuk menerima semula Najib nanti setelah mereka juga mulai menolak sebagaimana yang ditunjukkan dalam keputusan pilihanraya Rompin baru-baru ini?

Yang penting juga untuk ditunggu ialah bagaimanakah cara dan kaedah yang mahu diterapkan oleh Lim Kok Wing kepada Najib selepas ini dalam menghadapi cabaran dan tentangan daripada Tun Mahathir?

Di sana sini, persoalan yang kedengaran ialah mampu dan bolehkah imej Najib dipulihkan semula dengan bantuan Lim Kok Wing  ini? Berupayakah beliau membina benteng menahan Najib daripada ombak dan gelombang penolakan?

Atau mungkinkan kempen memulihkan imej Najib ini bakal berakhir seperti kempen anti merokok "Tak Nak" yang bukan saja tidak memberi apa-apa kesan kepada penagih tegarnya, bahkan jumlah perokok muda juga kian bertambah setiap masa?

Sekadar untuk tersenyum - kreativiti pengguna laman sosial menggambarkan wajah baru Najib selepas mendapat bantuan memulihkan imej daripada Lim Kok Wing..

Tiada ulasan: