Khamis, 14 Mei 2015

Majlis pelajar UIA kesal rektor mungkir janji sekat forum GST

 OLEH YASMIN RAMLAN


Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin dikatakan menarik balik kelulusan forum berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan di kampus UIA semalam, selepas mendapat tahu penceramah yang hadir walaupun sebelumnya sudah memberi persetujuan. – Gambar Facebook, 14 Mei, 2015. 
Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin dikatakan menarik balik kelulusan forum berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan di kampus UIA semalam, selepas mendapat tahu penceramah yang hadir walaupun sebelumnya sudah memberi persetujuan. – Gambar Facebook. 



Forum mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disekat pihak keselamatan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) semalam kerana tekanan politik ekoran kehadiran Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, kata salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIA, Afiqah Zulkifli.

Afiqah memberitahu The Malaysian Insider, rektor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin menarik balik kelulusan program itu selepas mendapat tahu penceramah yang hadir.

"Rektor memang suruh batalkan sebab speaker. Walaupun HEP (hal ehwal pelajar) beri pilihan suruh buat di luar kampus, mesej yang kami nak bawa adalah kebebasan akademik dalam kampus.


"Jadi buat apa nak bawa di luar kampus? Sebab itu, kami buat di dalam," katanya yang hanya dimaklumkan perkara tersebut pada Isnin jam 1 pagi.

 Afiqah berkata Zaleha mungkir janji kerana ketika mesyuarat MPP bersamanya pada 14 April, beliau membenarkan mereka menjemput ahli politik berucap sekiranya ada latar belakang akademik mengenai topik program.

"Rektor cakap, (pembatalan) disebabkan tekanan politik, HEP pun ada cakap. Tetapi rektor mungkir janji.

"Baru-baru ini kami ada mesyuarat bulanan dengan rektor. Rektor janji yang kami dibenarkan bawa ahli politik kalau mereka ada autoriti untuk bercakap, ada latar belakang akademik mengenai perkara itu. Tajuk GST, rektor sendiri yang cadangkan," katanya dan menambah pihak Jabatan Kastam sepatutnya menghantar wakil berucap.

Beliau menambah, program itu pada asalnya dicadangkan di auditorium utama UIA, tetapi pihak penganjur membuat keputusan berpindah ke Human Science Square kerana lokasi asal tidak mendapat kelulusan pada saat akhir.

Hari ini, Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata beliau hanya diberikan 10 minit berucap pada forum di universiti itu, sebelum pihak keselamatan merampas mikrofon.

Menurut ahli Parlimen Pandan itu, pihak keselamatan UIA diketuai anggota polis Bukit Aman, Razali Mohamad, cuba memaksa beliau beredar dari kawasan tersebut.

"Dalam beberapa saat itu, tanpa memaklumkan apa-apa kepada saya, orang itu merampas mikrofon sehingga tercabut bateri mikrofon. Ini berlaku di hadapan beratus-ratus siswa UIA yang hadir dan menimbulkan suasana tegang.

"Beberapa mereka membuat bising dan mengkritik kononnya tindakan saya tidak mencerminkan seorang ahli Parlimen. Saya dimaklumkan kemudiannya yang orang-orang tidak dikenali ini adalah anggota polis Cawangan Khas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: