MALAYSIAKINI
Rancangan membina Lebuh Raya Pantai Barat yang dijangka siap pada 2019
di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) diharap mendapat kerjasama
sepenuhnya daripada kerajaan negeri Selangor.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS) Datuk Seri
Noh Omar berkata walaupun pelan pembangunan projek itu sekali lagi
disenaraikan dalam RMK, namun tempoh siap lebuh raya itu kini dilihat
relevan dan seiring dengan pertambahan kenderaan semasa.
Jelasnya, idea pembinaan lebuh raya untuk kemudahan jangka panjang
rakyat di kawasan terlibat sepatutnya menjadi keutamaan kepada kerajaan
Selangor pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
"Ada bahagian jajaran infrastruktur ini akan dibina di atas tanah hutan
milik kerajaan Selangor dan amat diharapkan pihak berkenaan boleh beri
kerjasama
supaya projek itu terlaksana.
"Sudah pastinya dengan pembukaan lebuh raya ini kelak dapat meningkatkan
lagi taraf ekonomi kawasan terlibat selain memudahkan perjalanan,"
katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Tambah beliau, lebuh raya itu juga pastinya dapat memberi pilihan kepada
rakyat supaya tempoh masa perjalanan dan kesesakan dapat
dikurangkan terutama pada musim perayaan dan cuti umum.
Pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat yang bakal menghubungkan Banting
sehingga ke Perak itu telah diumumkan dalam RMK10 dan pembinaannya
dilihat menjadi alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Dalam pada itu, Noh berkata pertambahan RM30 bilion peruntukan siling
perbelanjaan iaitu sebanyak RM260 bilion bagi RMK11 berbanding RM230
bilion pada RMK10 disifatkan bakal membuka lebih banyak peluang ekonomi
kepada rakyat.
Katanya, peruntukan yang mencakupi pembangunan bandar dan luar bandar
itu seharusnya memberi pelbagai nikmat serta faedah terhadap masyarakat
seiring dengan hala tuju Malaysia dalam mencapai taraf negara maju
menjelang 2020.
"Pertambahan peruntukan siling ini mampu menjana banyak peluang ekonomi
untuk menambah pendapatan negara maka rakyat seharusnya menyambar ruang
yang ada demi meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
pula berkata, dalam usaha mencapai status negara maju dan berpendapatan
tinggi menjelang tahun 2020, kerajaan persekutuan dicadang supaya lebih
fokus serta meneliti aspek pelaksanaan RMK11 tersebut.
"Pada pendapat saya, RMK (Rancangan Malaysia) sebelum ini tidak mencapai
objektif secara optimum dari segi pelaksanaan. Semua pihak diharap
mengambil iktibar sekiranya ikhlas mahu RMK11 ini berjaya," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan