Khamis, 21 Mei 2015

K'jaan akui Akta Hasutan calar imej Malaysia

MALAYSIAKINI


 


Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengakui bahawa langkah Putrajaya mengetatkan Akta Hasutan 1948 menarik perhatian negatif beberapa pihak di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, beliau persepsi itu "sesuatu yang biasa" diutarakan oleh pihak asing.

"Mereka menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia sebagai menyekat kebebasan bersuara dan hal asasi manusia rakyat Malaysia.

"Tindakan ini juga tidak selaras dengan prinsip kesederhanaan yang dipromosikan dan ditekankan oleh kerajaan Malaysia di arena antarabangsa.

"Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa pandangan seperti ini adalah sesuatu yang biasa diutarakan oleh pihak asing," katanya dalam jawapan bertulisnya semalam.

Beliau mengulas soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkaitan kesan, imej dan pandangan negara dan pihak luar kepada Malaysia ekoran beberapa isu termasuk pindaan Akta Hasutan.

Dalam jawapannya juga, Anifah berkata kementeriannya telah memanjangkan maklumat mengenai tindakan kerajaan mengekal dan mengukuhkan akta itu kepada pihak antarabangsa.

"Ia bertujuan memberi penjelasan dan penerangan mengenai perkara tersebut kepada pihak asing yang berkenaan," katanya dipetik.

Beliau turut berkata setiap undang-undang yang digubal atau dipinda termasuk Akta Hasutan bertujuan memberi kebaikan termasuk mengekalkan kestabilan dan perpaduan kepada rakyat dan negara.


Tiada ulasan: