Najib Tun Razak  

Najib Tun Razak


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kesalahan Nur Fitri Azmeer Nordin, yang didapati memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, sebagai satu jenayah yang amat berat.

Beliau berkata penuntut jurusan Matematik berusia 23 tahun itu mesti dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Perdana Menteri menegaskan beliau tidak bersetuju dengan cadangan atau komen sesetengah pihak bahawa kerajaan akan merayu kes Nur Fitri Azmeer untuk mengurangkan hukumannya, apatah lagi menggunakan dana awam bagi tujuan itu.

"Nur Fitri Azmeer telah dibicarakan mengikut sistem perundangan Britain, diberi peluang untuk mempertahankan diri, dan didapati bersalah.

"Kita harus menghormati undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah mesti dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya dalam entri terbaharu dalam blog najibrazak.com malam tadi.‎

Bagaimanapun, Najib berkata Nur Fitri Azmeer mesti diberikan bimbingan kaunseling agar dia tidak mengulangi kesalahan, demi kebaikannya dan masyarakat.

"Ini perlu dilakukan agar individu tersebut dapat diterima kembali oleh masyarakat," katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak mencadangkan supaya pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu diberi peluang kedua termasuk meneruskan pengajiannya di dalam negara setelah selesai menjalani hukuman di London.

Nur Fitri Azmeer, yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya. - Bernama