Ahad, 24 Mei 2015

Kes culik: Tingkat risikan, dekati orang tempatan

Kes culik
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan disaran melipatgandakan risikan dan mendekati orang-orang tempatan sebagai salah satu cara menangani pencerobohan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi di Sabah.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek mendakwa kebocoran maklumat berlaku hasil kerja orang dalam hingga mengakibatkan berlakunya penculikan.

“Lanun atau penjenayah ini rupa memang macam orang Malaysia, pakaian seperti kita dan bercakap pun bahasa kita jadi mereka boleh berpura-pura menjadi orang awam. Cuma, adakah wujud ejen dalam kalangan kita (orang tempatan) ini?

“Saya berpendapat, risikan amat perlu dilipatgandakan kerana kebanyakannya yang beri informasi kepada mereka ini adalah orang tempatan. Kita ambil contoh, orang yang sedang makan di restoran itu, tempat itu memang lokasi tumpuan pelancong. Tetapi yang memberi informasi...siapakah mereka yang datang ke sana...orang kaya ke berduit ke...itu mesti kerja orang dalam,” katanya kepada Sinar Online.

Terbaharu, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan lalu menculik seorang lelaki dan seorang wanita dengan disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak.

Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang daripada mangsa culik dalam kejadian 7.45 malam itu manakala seorang lagi mangsa ialah Bernard Ghen Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja.

Dalam pada itu, Abdul Halim menambah, pihak berkuasa perlu membina jaringan dengan rakyat tempatan bagi mengukuhkan keyakinan mereka agar bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Geografi kawasan itu sangat luas, jadi yang menjadi lanun atau penjenayah ini mempunyai jaringan mereka sendiri dan pada bila-bila masa mereka boleh bersembunyi di mana-mana. Ini yang menjadi masalah kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama dengan orang tempatan lebih rapat atau lebih kerap (perlu) dilakukan supaya kita boleh meyakinkan orang awam untuk memberi kerjasama yang terbaik kepada pihak berkuasa dan jangan memberi informasi-informasi kepada orang luar. Industri pelancongan memang tergugat kerana perkara ini,” katanya.

Tiada ulasan: