Rabu, 13 Mei 2015

Kerana mabuk penumpang MAS dipenjara

MALAYSIAKINI


 


Ahli perniagaan Jerman Dietmar Ross, 54, dijatuhi hukuman sebulan penjara selepas mengganggu penerbangan Malaysian Airlines ke Sri Lanka.

Ross mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan membahayakan anak kapal, tidak patuh pada undang-undang penerbangan dan menggunakan kata-kata kesat.

Dia didakwa bawah Seksyen 70 (1) Akta Penerbangan Awam 1969, menurut Star Online.

Pada 10 Mei lalu, pesawat MAS ke Colombo, Sri Lanka, berpatah balik selepas berpusing-pusing di perairan selat Melaka selama dua jam.

MAS berkata langkah pesawat tersebut diambil kerana terdapat seorang penumpang mabuk mencetuskan gangguan.

"Oleh kerana saiz badannya besar, penumpang lain lain terpaksa membantu anak-anak kapal untuk menahan penumpang," kata MAS.

MAS berkata sebaik sahaja tiba di KLIA, penumpang terbabit diserahkan kepada pihak berkuasa dan pesawat itu kemudiannya berlepas kembali ke Colombo.


Tiada ulasan: