Khamis, 7 Mei 2015

Keputusan tamat pinjaman Fitri kekal

MALAYSIAKINI


 


Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan bahawa keputusan menamatkan pinjaman pelajaran Nur Fitri Azmeer Nordin yang disabitkan bersalah kerana memiliki imej dan video pornografi kanak-kanak, kekal.

Pengarah Komunikasi Korporat MARA Rohayah Mohd Zain berkata Nur Fitri Azmeer juga dikehendaki membayar balik keseluruhan pinjaman yang telah disalurkan.

Pada Sabtu lepas, MARA dalam satu kenyataan menyebut tindakan itu diambil setelah Mahkamah Southwark Crown, London pada 30 April, mensabitkan kesalahan Nur Fitri Azmeer yang mengaku melakukan perbuatan itu.

Pinjaman pelajaran remaja itu digantung sejak November 2014, iaitu ketika mula ditahan reman atas pertuduhan berkenaan, kata Rohayah dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa dalam catatan terbaharu di laman Facebook miliknya, secara peribadi berpendapat Nur Fitri Azmeer perlu dibantu menjalani pemulihan dan meneruskan pelajarannya.

"Sama ada di bawah tajaan MARA atau tidak, adalah perkara lain.

"Saya berharap pihak tertentu termasuk pemimpin yang kelihatan terburu-buru membuat kenyataan tanpa berfikir panjang agar lebih berhati-hati dan sensitif.

Membantu rakyat yang bermasalah adalah tanggungjawab kita," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: