Ahad, 3 Mei 2015

Kenapa menteri benarkan syarikat telco catut harga?-Tony Pua

tony-pua

Roketkini.com


PETALING JAYA, 3 MEI: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek kerana cuba berdolak-dalih isu pencatutan harga kad prabayar pasca Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST).

Hal ini dibangkitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua apabila semalam Shabery memberitahu media bahawa Putrajaya akan kehilangan RM 800 juta pendapatan tahunan jika tidak mendapat tiada kutipan cukai dari jualan kad prabayar.

“Shabery tak ikhlas ketika cakap begitu kerana kontroversi ini bukan berkaitan isu pelaksanaan GST terhadap kad prabayar, tak ada siapa yang mahu kad prabayar jadi sifar cukai.

“Isu sebenar ialah syarikat-syarikat telco yang ambil peluang catut harga dari pelaksanaan GST sehingga enam peratus,” ulas Tony.

Tony mengatakan ini bukan kali pertama syarikat telco cuba catut harga, namun apa yang dipersoalkan adalah tindakan menteri membenarkan hal itu berlaku.

Ahli parlimen itu menambah wujud dua pilihan kepada kabinet untuk ditentukan. Pertama
kementerian mencadangkan kad prabayar dijual dengan harga RM 10.60 bagi nilai perkhidmatan sebanyak RM 10. Kedua, menjualnya dengan harga RM 10 bagi nilai perkhidmatan RM 9.43.

“Nampaknya jika sebelum ini pengguna akan bayar RM 9.43 untuk dapat nilai RM 10, lepas ini mereka terpaksa bayar RM 10 untuk dapat nilai RM 9.43.

“Kenapa menteri boleh benarkan syarikat telco ini catut harga? Pada 2011 mereka cuba guna SST untuk naikkan harga kepada pengguna, namun ia ditentang sehingga percubaan itu gagal.

“Kali ini serupa juga, cuma GST pula digunakan untuk dimanipulasi bagi keuntungan sendiri,” jelas Tony lagi.-Roketkini.com


Tiada ulasan: