Khamis, 21 Mei 2015

Kapal korek karam dipukul ombak, seorang selamat 14 lagi hilang

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
JOHOR BAHARU: Sebuah kapal korek membawa muatan pasir dari Teluk Ramunia, Pengerang dekat sini karam dipukul ombak awal pagi ini di kedudukan 8.6 batu nautika timur Tanjung Punggai, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
 
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, 14 kru kapal dilaporkan hilang manakala seorang berjaya diselamatkan.
 
Kapal itu sedang menuju ke perairan Pengerang dekat sini apabila dipukul ombak menyebabkannya terbalik lalu karam, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
“Berikutan itu, kesemua kru kapal yang terdiri daripada 14 warga China dan seorang warga tempatan terjatuh ke dalam laut.
 
“Namun seorang daripadanya telah berjaya diselamatkan oleh kapal yang kebetulan melalui kawasan itu, manakala 14 lagi kru masih hilang,” katanya.
 
Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat kesemua mangsa hilang oleh Pasukan Gerakan Marin sedang giat dilakukan membabitkan sebuah kapal, tiga bot Maritim Malaysia Daerah Tanjung Sedili dan pesawat udara agensi berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: