Rabu, 13 Mei 2015

Kad prabayar: Guna dulu baru kena GST

 
Kad isian semula tetap dikenakan GST tetapi bergantung kepada jumlah penggunaan iaitu guna dahulu baru dikenakan GST.


ahmad-shabery_gst_relod_600


CYBERJAYA: Kerajaan setuju untuk memperkenalkan konsep baharu untuk kad isian semula prabayar telefon bimbit atau top-up berdasarkan penggunaan atau ‘usage based’.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, menerusi konsep itu, GST tetap dikenakan tetapi bergantung kepada jumlah penggunaan iaitu guna dahulu baru dikenakan GST.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bagaimana kiraan akan dibuat kerana kajian masih dijalankan oleh syarikat telekomunikasi (telco).

Bagaimanapun, konsep itu hanya akan dipakai dalam tempoh enam bulan akan datang untuk memberi masa kepada telco membuat persediaan.

Sehingga tempoh itu, kad isian semula kekal menggunakan konsep sekarang iaitu bayar RM10.60 bagi kad berharga RM10.

Ahmad Shabery berkata, cadangan itu dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan telah dipersetujui Kabinet.

“Kerajaan yakin konsep baharu ini lebih wajar kerana GST tidak dikenakan sebelum perkhidmatan digunakan,” katanya dalam sidang media pada Rabu.

Ahli Parlimen Kemaman itu memberi jaminan konsep baharu itu tidak merugikan rakyat dan kerajaan.

Katanya, kerajaan juga menjangkakan kualiti perkhidmatan yang lebih baik daripada telco dan menyarankan syarikat-syarikat telekomunikasi itu menurunkan tarif perkhidmatan.

Tiada ulasan: