Khamis, 21 Mei 2015

Hipokrasi Aung San Suu Kyi



Oleh Mohammad Sufian Talib


Ironinya, Aung San Suu Kyi pada September 2013, dinobat sebagai penerima Sakharov Prize for Freedom of Thought Kesatuan Eropah kerana mendedikasikan sebahagian dari umurnya mempertahan hak asasi manusia terutama di Myanmar.

Ketika dunia sedang mencari-cari di manakah beliau untuk menjuarai kepimpinan berteraskan moral dan insani, malangnya, bisunya dia atas nasib Rohingya yang merupakan sebahagian etnik di Burma amat mengejutkan. Berdasarkan angka yang disebut PBB, 800,000 Muslim Rohingya adalah etnik minoriti yang paling teraniaya di dunia.

Apabila Suu Kyi dipersoal tentang Muslim Rohingya, jawapan beliau menunjukkan dia seorang yang sangat berat sebelah, bias dan tidak berperikemanusiaan. Jawapannya bersahaja, kedua-dua pihak Buddha dan Islam sama-sama menderita, sedangkan sudah terang lagi bersuluh tidak begitu senarionya, Buddha di Burma merupakan kekasih politik Burma dan tidak pun dipaksa hidup di kem-kem yang kotor menjijikkan.


Dalam temubual BBC TV pada bulan Oktober 2013, beliau menafikan negaranya terlibat dalam pembersihan etnik dan mengatakan keganasan terhadap umat Islam adalah kerana ketakutan terhadap "kuasa Islam global." Adakah patut kenyataan ini keluar dari mulut seorang penerima Hadiah Nobel Keamanan.

Apakah mungkin Suu Kyi mengalami satu prejudis peribadi terhadap Muslim berkulit hitam dan langsung  tidak mempunyai keberanian politik untuk menggunakan pengaruh beliau untuk menghentikan keganasan? Dia tahu dia akan kehilangan undi rakyat Rohingya yang merupakan etnik amat tidak popular di dalam Burma dengan banyak yang beranggapan Rohingya sebagai pendatang haram Bangladesh. Ambivalensi beliau mengenai nasib rakyat Rohingya terus menimbulkan kebimbangan mendalam di peringkat antarabangsa.

Ironinya seorang Buddha yang cintakan keamanan, memuji-muji pula pihak tentera merupakan satu lagi percanggahan dan kekeliruan Aung San Suu Kyi hari ini. Dalam 20 tahun beliau menghabiskan umurnya di penjara dan di bawah tahanan rumah, dia berdiri menentang junta tentera. Tetapi minggu ini gambar beliau berjaya dirakam bercakap dengan pihak askar di Sandhurst, UK tentang keperluan untuk "Tentera yang ‘Baik’ dan ‘Profesional’ yang disegani dan dihormati rakyat".

Walau bagaimanapun, penindasan terhadap minoriti di Burma secara rutin dilakukan Tentera di bawah kerajaan ukuran-awamnya, mengingatkan kepada pemerintahan tentera kejam yang lalu.

Lebih malang, Suu Kyi jelas memutuskan dia memerlukan sokongan tersirat daripada tentera jika dia ingin terus dalam politik walaupun ini seolah-olah bercanggah dengan keperluan untuk membangunkan masyarakat sivil. Kebimbangan disampaikan tentang jumlah bantuan yang datang dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk menyokong tentera Burma dan bukannya membantu proses Membangun-Demokrasi.

“EU berjaya melakukan perkongsian strategik yang bijak dengan pihak tentera Kerajaan Burma dan bukannya rakyat Burma” ulas Kumpulan Hak Asasi Manusia Burma yang berkempen di UK.
Suu Kyi yang sering melaung dan memperjuangkan tema "the greater common good". Retorik ini seakan dasar berhati-hati beliau jika dia ingin mencapai dasar yang lebih progresif selepas pilihan raya akan datang.

 Malangnya, data kami menunjukkan beliau yang kononnya datang dari pergerakan perjuangan demokrasi semasa melakukan lawatan ke London, langsung tidak menghadiri satupun mesyuarat yang dirancang dengan mana-mana kumpulan hak asasi manusia, juga masyarakat Burma yang hidup dalam buangan di UK. Ini sahaja menunjukkan sikap dia yang seakan “fall from grace”.

Apakah mungkin kita yang bersalah dengan mengharapkan terlalu banyak Suu Kyi? Dengan melihat kepada beliau untuk melakukan apa yang betul dari segi moral dan bukannya politik suai-manfaat.

Kami pernah berharap beliau akan menjadi contoh yang bersinar untuk semua kelemahan dalam demokrasi Barat. Sungguh, harapan kami kini berkecai kerana beliau sedang sahaja menyesuaikan diri dengan demokrasi kuku besi ala barat, yang sengaja melakukan jenayah dalam senyuman.

Walau bagaimanapun, perlembagaan Burma melarang individu dengan pasangan atau anak-anak yang merupakan warganegara asing dari berkhidmat sebagai presiden - nampaknya perlembagaan ini langsung ditujukan kepada Suu Kyi. Dia akan memerlukan sokongan popular untuk mencapai pindaan perlembagaan dan kemudiannya memenangi jawatan presiden. Adalah sangat tidak patut apabila beliau mengorbankan sokongan minoriti Rohingya dalam keadaan beliau sedang menginginkan undi untuk perlembagaan negaranya dipinda.

Matlamat tidak menghalalkan cara, bagaimana nasib rakyat Rohingya hari ini mampu sahaja berpindah kepada meruntuhkan cita-cita beliau untuk mendapat jawatan tersebut. Umat Islam di Burma terus sengsara di kem-kem pelarian yang kotor, mereka hidup dalam buangan, tanpa negara, tanpa harapan dan tanpa apa-apa penyelesaian yang boleh dijangka di masa akan datang. Jika tidak Aung San Suu Kyi, siapakah lagi mereka-mereka yang mampu memperjuangkan hak-hak sivil rakyat di sana?

Tiada ulasan: