SHAH ALAM - Jabatan Mufti Selangor proaktif membanteras amalan tarekat yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar dengan menerima setiap aduan yang kemudiannya disiasat oleh bahagian penyelidikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
 
Muftinya, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Jawatankuasa Pengawalan Akidah terlebih dahulu akan meneliti setiap hasil siasatan sebelum satu kertas kerja lengkap akan dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor.
 
"Sekiranya amalan tarekat didapati menyimpang daripada ajaran Islam, ia akan diwartakan sebagai haram.
 
"Setakat ini Selangor sudah mewartakan enam kumpulan tarekat antaranya Tarekat Al-Hasaniah, Tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol, Tarekat Islam Muhamad SAW Habibullah Al-Hashimi, Tarekat Zikrullah Hasan Anak Rimau dan Naqsyabandiah Kadirun Yahya serta Tarekat Mufarridiah Ajaran Syeikh Makmun Yahya," katanya kepada Sinar Harian.
 
Beliau berkata, kebanyakan amalan tarekat yang diwartakan berunsur penyembahan atau pengagungan kepada guru mereka.
 
“Ia bukanlah penyembahan secara langsung, tetapi ahli tarekat terlalu mengagung-agungkan guru mereka seolah-olah sama taraf dengan Tuhan," katanya.