KUALA KRAI - Guru tahfiz maut sementara sepupunya parah selepas kenderaan dinaiki terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang menonton perlawanan akhir Piala FA, di Stadium Nasional Bukit Jalil, kira-kira jam 6 pagi tadi.

Dalam kejadian di Kilometer 105 Jalan Kota Bharu Gua Musang dekat Sungai Sam, pemandu, Afif Asyraf Yahya,28, yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian sementara sepupunya Aminuddin Nawi, masih dirawat di Hospital Kuala Krai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Afif Asyraf  hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan  kemudiannya melanggar lori membawa muatan kelapa sawit.

Katanya, lori yang cuba mengelak mangsa pula terjatuh ke dalam gaung.

"Kenderaan yang berada di belakang kereta dipandu mangsa gagal mengelak merempuh belakang kenderaan dipandu Afif Asyraf," katanya.