Selasa, 12 Mei 2015

GST: 295 barangan perlu diturunkan harga

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan hari ini menyenaraikan 295 barangan yang perlu diturunkan harga selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lepas.

Senarai itu meliputi 22 barangan yang sebelum ini tertakluk kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 5 peratus, kini dikecualikan GST, dan 273 barangan yang sebelum ini dikenakan SST pada kadar 10 peratus, kini kepada enam peratus berikutan pengenalan GST.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan semasa mengedarkan senarai tersebut kepada pemberita hari ini berkata rakyat sepatutnya sudah merasai penurunan harga barangan susulan pelaksanaan CBP.

"Kita berhadapan dengan beberapa peniaga yang masih memanipulasi harga dan senarai ini adalah fakta.

"Saya mengarahkan agar peniaga menurunkan harga. Jika peniaga tidak mengikut arahan turunkan harga, seperti arahan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam, bererti peniaga telah melanggar akta-akta yang telah ditetapkan, antaranya akta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Biasiswa Srikandi Malaysia di ibunegara hari ini.

Ahmad berkata senarai tersebut adalah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
 
Beliau menjelaskan peniaga mesti menurunkan harga untuk 22 barangan makanan yang disenaraikan, meliputi ikan masin, ikan kering dan buah-buahan import berikutan ia kini merupakan barangan yang dikecualikan GST.
 
Manakala 273 barangan yang sebelum ini tertakluk kepada SST 10 peratus, harganya sepatutnya menjadi lebih murah susulan CBP pada kadar enam peratus, katanya.
 
Beliau berkata selain kenderaan, 273 barangan tersebut meliputi barangan kegunaan dalam rumah dan bahan asasi rakyat seperti perabot, pakaian, tuala wanita, pampers, alat tulis, minuman kordial, alat ganti, bateri kereta dan tayar.
 
"Disiplin yang patut dibuat ialah 'tolak 5 (SST) menjadi 0 (dikecualikan GST), tolak 10 (SST) menjadi 6 (GST)', sebelum memasukkan harga baru," katanya sambil menyarankan kepada peniaga lain supaya mencontohi Mydin, Jakel dan KFC dalam pelaksanaan GST.
 
"Yang ada jenama selalunya mengikut SOP, yang saya risaukan ialah kedai-kedai di kampung," katanya.

Ahmad berkata rakyat kini marah kepada kerajaan kerana harga barangan yang mahal dan mereka juga perlu membayar cukai.
 
"Isu utama GST ialah berkenaan harga barang. Jika harga dapat distabilkan, CBP tidak akan menjadi isu utama lagi.
 
"Majoriti barangan harus diturunkan harga, menjadikan CBP membawa kebaikan kepada rakyat. Harga kenderaan sudah turun, kenapa harga barangan lain belum lagi turun?," katanya.
 
Bagi sektor perkhidmatan seperti bengkel motosikal yang mengenakan GST, Ahmad mengingatkan hanya syarikat yang mempunyai nilai jualan tahunan melebihi RM500,000 sahaja perlu berdaftar GST.
 
"Yang kecil tidak perlu berdaftar. Sekiranya pengguna musykil, status pekedai boleh disemak dengan memasukkan nombor pendaftaran GST 12 angka dalam portal semakan," katanya.
 
Katanya semakan boleh dibuat di portal http://gst.customs.gov.my , dan menyenarai semula empat lagi portal untuk maklumat berkaitan GST, iaitu http://www.treasury.gov.my , http://www.kpdnkk.gov.my , http://gstpedia.my dan  http://gstmalaysiainfo.com .

Mengenai kad tambah nilai prabayar, Ahmad berkata isu tersebut masih dalam semakan kementerian berkaitan dan syarikat telekomunikasi ada memberi bonus 'air time' yang sewajarnya kepada pengguna.- Bernama


 

Tiada ulasan: