KUALA LUMPUR - Pertiwi Soup Kitchen antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) aktif yang terus komited menghulur bantuan meringankan beban gelandangan dan golongan miskin tegar di ibu kota.

Pengasasnya, Munirah Hamid, 64, berkata, misi utama Pertiwi Soup Kitchen untuk membantu mereka yang ketinggalan supaya tidak jauh tersepit atau tertinggal jauh ke belakang.

“Migrasi bandar ialah satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan. Rakyat Malaysia semakin bertambah membuatkan mereka berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki seiring peningkatan kos sara hidup.

“Kita tak boleh membezakan antara siapa yang berhak atau layak datang ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki,” katanya.

Baginya, sesiapa yang boleh dibantu untuk berdikari akan dibantu, manakala sesiapa yang tidak dapat berdikari pihaknya akan menjaga.

Berperanan selaku perintis usaha murni itu yang digerakkan sejak 2010, beliau tidak menyangka sambutan diterima sangat baik.

“Sewaktu saya mulakan projek itu, saya tak sangka ada sambutan serta sokongan daripada individu serta korporat. Syukur Alhamdulillah.

“Niat murni kami sentiasa disokong bagi tujuan menyediakan makanan asas kepada mereka yang kelaparan, bukan kerana mereka malas atau hanya mengharapkan bantuan tetapi sebab mereka tidak mendapat makanan yang cukup atau pemakanan yang sesuai. Mereka ini termasuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas,” katanya.

Munirah yang terlibat aktif dalam aktiviti kebajikan itu sejak berusia 17 tahun memaklumkan, kawasan-kawasan  yang dibantu ialah di Chow Kit, Kota Raya dan Masjid India iaitu pada setiap Ahad, Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Lazimnya antara 550 hingga 700 bungkus makanan diedarkan pada setiap malam khidmat itu dijalankan.


“Projek Perkhidmatan Kesihatan Pertiwi  pula membantu golongan gelandangan dan miskin tegar dengan memberi bantuan pemeriksaan doktor serta ubat secara percuma untuk penyakit biasa,” katanya.

Sementara itu, Munirah turut berkongsi khabar gembira untuk gelandangan bahawa pusat untuk memberi makanan di Lorong Medan Tuanku dijangka siap awal Jun, manakala rumah perlindungan yang dibina oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) di Bulatan Jalan Pahang sudah 37 peratus siap.

"Dijangka rumah perlindungan itu akan siap 100 peratus menjelang hujung tahun ini," katanya.