Khamis, 14 Mei 2015

'G10' Perak protes, laluan mudah menantu Hadi

MALAYSIAKINI


 


Sekumpulan pemimpin Pemuda PAS Perak menarik diri bertanding dalam pemilihan merebut kepimpinan dewan itu di peringkat negeri.

Calon ketua Pemuda PAS Perak Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata beliau dan dua lagi pesaing jawatan itu menarik diri selepas kepimpinan negeri didakwa menunjukkan sikap memihak kepada menantu presiden PAS Akmal Kamaluddin.

"Kami tidak mahu berlaku kekecohan dan kami lebih sayangkan parti," kata bendahari dan anggota biro politik PAS Perak itu.

Susulan penarikan diri mereka, Akmal secara tidak rasmi menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS Perak.

Fakhrulrazi mendakwa mempunyai bukti rakaman audio bagi menyokong dakwaan itu.

Dakwanya, sekurang-kurang 10 lagi calon jawatan lain, dirujuk G10, untuk pemilihan Pemuda negeri telah mengikut jejak langkah beliau.

Antara calon yang didakwa Fakhrulrazi menarik diri termasuk exco Pemuda PAS Salman Salleh, Ketua Pemuda PAS Sungai Siput Yusran Fahmi, bendahari Pemuda Perak Nazri Din dan Setiausaha PAS Pasir Salak Shamsul Alauddin.

Fakhrulrazi menafikan tindakan menarik diri itu disebabkan merajuk.

"Kita utamakan kepentingan parti sebagai satu penyelesaian untuk meredakan keadaan," katanya sambil berikrar akan memberi kerjasama kepada kepimpinan terbaru yang bakal dilantik.

Muktamar Pemuda PAS Perak akan bersidang pada 17 Mei ini di Markaz PAS Ayer Kuning, Taiping.

Tunjukkan bukti, kata pesuruhjaya

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menafikan beliau berkempen dan memihak kepada Akmal.

"Saya tidak ada rancangan untuk campur tangan.

"Kalau ada bukti, tunjukkan di mana saya bercakap, di mana, apa konteksnya, kepada siapa dan dalam keadaan apa saya bercakap?

“Kalau nak tuduh, semua orang boleh tuduh," katanya. 


Tiada ulasan: