Ahad, 17 Mei 2015

Fitnah siber!




Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA


SENARIO hari ini menyaksikan masyarakat begitu kalut berfitnah, maklumat palsu, berprasangka buruk, pernyataan beremosi sehingga wujud salah faham yang membawa kepada caci, kutuk, menuduh, malah membuat kesimpulan dan menghukum seseorang dengan bersandarkan maklumat yang diviralkan di media-media sosial.

Tidak dinafikan, medium seperti WhatsApp, Intagram, Twitter, Facebook, WeChat dab pelbagai aplikasi lain lagi, banyak mendatangkan kebaikan walaupun dalam masa sama  meninggalkan kesan negatif. 


Segelintir pihak menjadikan  aplikasi talian ini sebagai punca pendapatan sehingga sanggup berhenti kerja meninggalkan gaji besar. Ada juga kelompok yang menggunakan platform ini sebagai medan menyeru ke arah kebaikan.

Dalam ada baik terpalit juga buruknya, begitulah adat dunia. Teknologi itu diciptakan untuk memudahkan urusan kehidupan, namun ada pula pihak yang menyalahgunakannya. Kita sedia maklum, teknologi berubah dari masa ke masa dan ia sentiasa ditambah baik sehingga tanpa menekan apa-apa butang pun, alatan canggih boleh berbunyi dan berfungsi.

Hari ini, kecanggihan teknologi dan individu yang menggunakannya benar-benar mengubah prinsip hukum dan adab dalam menyebarkan maklumat menurut kaca mata Islam.

Pendakwah, Prof Madya Mohd Nor Mamat, berkata terdapat beberapa golongan yang mencetuskan terjadinya fitnah alam siber ini antaranya mereka yang sememangnya berniat jahat, memfitnah orang, memburuk-burukkan atau menjatuhkan nama baik orang lain. Golongan ini seharusnya dijatuhkan hukuman berat sebagai pemfitnah. Malah orang yang disabitkan kesalahannya dalam hal ini tidak layak untuk dipercayai kata-katanya, tidak boleh menjadi saksi dan mereka boleh dihukum sebagai fasik.

"Golongan ini tidak berwaspada dengan risiko silap faham dan kemungkinan dipergunakan bagi tujuan yang tidak baik. Mereka bukanlah berniat untuk menyebarkan fitnah, tetapi kurang sedar dengan tipu helah siber yang memungkinkan seribu satu penyalahgunaan.

"Kadangkala mereka ini adalah keyboard warrior yang sukakan perhatian. Saya fikir ramai golongan begini dalam masyarakat kita, kerana itu pendidikan mengenai etika Islam di alam siber perlu dipertingkatkan. Undang-undang yang sedia ada juga perlu diperketatkan," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, golongan jahil dan menyebarkan maklumat yang dirasakannya baik dengan tujuan  memberi manfaat kepada orang lain tanpa menilai terlebih dahulu kesahihan.

Andai kita termasuk dalam golongan sebegini, cepat-cepatlah ingat hadis Nabi Muhammad SAW  yang bermaksud berdiam diri itu lebih berpahala berbanding menyebarkan berita atau ilmu yang langsung tidak diketahui kebenarannya. 

Kelompok yang menjadi mangsa kepada permainan fitnah oleh golongan berkenaan seharusnya dibantu dan dibimbing agar lebih berhati-hati dengan risiko interaksi atau komunikasi di alam siber.

Ustaz Mohd Nor berkata, golongan ini wujud dalam kalangan orang yang 'baik-baik' - bertindak reflektif kepada persekitaran negatif dan akhirnya bertindak secara negatif. Jangan pula sampai mengambil tindakan sendiri untuk mempertahankan diri dengan mencipta fitnah terhadap golongan lain.

Situasi berkenaan lantas mewujudkan budaya berbalas maki hamun, dedahkan aib saudara seagama dan sebagainya. Akhirnya, suasana fitnah berterusan dan tiada kesudahan.

"Saya percaya, suasana ini timbul dan dimulakan oleh kelompok yang kecil. Pihak yang terlibat tidak perlu menuding jari kepada sesiapa.

"Sifirnya mudah, jika mahukan keadaan aman dan harmoni tanpa  fitnah memfitnah kitalah yang perlu mulakan perubahan untuk menjadi baik," katanya yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.

Teliti maklumat

Beliau menambah, sudah ada undang-undang sivil dikenakan kepada pemfitnah siber ini. Namun, dalam konteks agama belum ada lagi undang-undang Islam yang membicarakan perihal ini secara khusus.Tetapi, Islam melihat penyebaran fitnah, penyampaian maklumat palsu ataupun tidak disahkan kepastiannya  bersalahan di sisi ALLAH SWT.

Memang mudah menyebarkan maklumat palsu terutama dalam alam siber yang tidak mengenali antara satu sama lain, tetapi amaran ALLAH seharusnya menjadi bekalan pendinding agar sentiasa beretika dengan-Nya.

Renunglah firman ALLAH SWT yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal di sisi ALLAH adalah besar." (Surah An-Nur: 15)

Sumber sahih

Kita haruslah mementingkan sumber yang sahih dan mengelakkan daripada prejudis serta prasangka tanpa maklumat yang tepat. Hari ini, fitnah dan berita palsu banyak tersebar akibat sikap prasangka sebati dalam budaya kita.

ALLAH mengingatkan kita mengenai ancaman azab-Nya terhadap orang yang banyak berprasangka dan menggunakan saluran maklumat untuk tujuan jahat atau propaganda bagi menjatuhkan orang lain. ALLAH SWT berfirman: "Hai orang yang beriman!

Jauhilah kebanyakan salah sangka (dugaan terhadap sesama Muslim) kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari aib orang serta janganlah setengah kamu mengumpat yang lainnya. Sukakah salah seorang kamu bahawa dia memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai)? Maka tentu kamu benci memakannya…" (Surah Al-Hujurat: 12)

Ustaz Mohd Nor menambah, berdasarkan kepada perspektif al-Quran dan hadis serta pandangan ulama dalam bentuk aplikasinya, Al-Quran menggariskan tips berbicara ataupun menulis dalam komunikasi kita, hanya perkara yang baik-baik sahaja (Qaulan Ma’rufa) dan bukannya dipalsukan atau ditokok tambah (Qaulan Sadida), dengan cara yang baik dan positif (Qaulan Karima), bahasa yang mudah difahami dan tidak mengelirukan (Qaulan Maisura), lemah lembut (Qaulan Layyina) serta dengan jelas dan jangan disensasikan sehingga menimbulkan teka teki ataupun silap faham (Qaulan Baligha).

"Individu berkenaan perlu menerapkan sifat mulia Rasulullah SAW sama ada semasa bersemuka atau di alam maya. Kita hendaklah sentiasa bercakap benar, bertanggungjawab dengan apa yang diperkatakan, tidak menyembunyikan sesuatu yang menjadikan orang salah faham dan berkomunikasi secara bijak dalam berdakwah dan bersosial.

"Meskipun kita tidak popular dengan sensasi, tetapi inilah yang sebenarnya menjadi asas kepercayaan, penghormatan serta tarikan kepada dakwah yang kita sampaikan. Kata pujangga: Beribu kali kita bercakap kebenaran, orang mudah terlupa, tetapi sekali kita bercakap pembohongan, orang muda ingat sampai bila-bila," Katanya.

Praktis beretika

Marilah kita memulakan praktis secara lebih beretika untuk mendapatkan maklumat dalam internet agar ia menjadi transaksi ilmu yang dikira sebagai ibadah. Antaranya:

Hendaklah kita biasakan diri dengan merujuk maklumat dan ilmu daripada laman web yang diyakini autoritinya sahaja, seperti pengenalan .edu, .gov atau sebagainya berbanding viral yang disebarkan secara bebas tanpa identiti yang diyakini.

Hendaklah kita menganggap diri seorang murid dengan adabnya yang betul ketika mendapatkan maklumat daripada internet, agar terhasil suasana barakah dan menghasilkan manfaat ilmu. Pilihlah guru yang dikenali dan diketahui kesahihannya sahaja.

Elakkan daripada mengunjungi sumber maklumat di alam siber yang berbentuk forum bebas, blog, Facebook atau laman hos bebas kecuali benar-benar kita mengenali autoriti penyedianya.

Dalam konteks jaringan sosial di alam siber seperti menerusi Facebook, Twitter, WeChat, Aplikasi WhatsApp, chatting dan emel menuntut praktis secara lebih beradab untuk mencapai status ibadah berkomunikasi dan silaturahim yang memenuhi tuntutan hablun minannas.


Tiada ulasan: