Selasa, 26 Mei 2015

Exco: RM12 juta naik taraf jalan kampung seluruh Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM


AMPANG: Kerajaan Selangor sudah meluluskan peruntukan RM12 juta bagi menaik taraf jalan kampung seluruh negeri itu, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Katanya peruntukan itu akan ditambah berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa dan jumlah itu tidak termasuk jalan di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris)

“Kita dah luluskan peringkat bahagian agihan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) membabitkan dua daerah untuk naik taraf ini.

ketua kampung 1

“Kita dalam usaha luluskan bagi semua daerah sebelum Jun ini. Walaupun saya rasa RM12 juta ini tidak terlalu besar tetapi kita lihat hasil selepas itu untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi pembangunan.

“Ia melibatkan infrastruktur jalan kampung, parit, longkang, lampu jalan, jambatan dan kemudahan lain kerana melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Dr Ahmad Yunus berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Pengurusan dan Kepimpinan Ketua-Ketua Kampung Selangor Siri 4/2015 di Hotel De Palma, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kelulusan itu termasuk jalan kampung yang terletak di atas tanah persendirian tetapi melibatkan kepentingan awam.

“Kita akan naik taraf jalan ini dengan syarat mendapat kebenaran bertulis dari pemilik tanah,” katanya.-NFN-


Tiada ulasan: