KOTA BHARU - Kelantan mempertaruhkan empat pemain importnya apabila menentang Lions XII pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jurulatih Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah berharap barisan pemain import The Red Warriors (TRW) iaitu Erwin Carillo, Austin Amutu, Gilmar Da Silva dan Jonathan Mckain mampu menampilkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.

"Amutu boleh bermain tetapi kita tidak tahu setakat mana dia boleh beraksi dan berapa lama, namun saya rasa itu bukan masalah buat kita.

"Apa yang penting mereka lakukan yang terbaik dan kurangkan buat kesilapan mudah, pemain perlu fokus kerana kesilapan mudah akan membawa padah," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, moral pemain juga amat baik pada masa ini, selain segala persiapan untuk menghadapi perlawanan akhir itu berjalan lancar.

"Pemain semua cergas dan ini menunjukkan satu keadaan yang positif, apabila sudah sampai di peringkat akhir kita mesti gunakan peluang ini untuk menjadi juara.

"Kita tidak boleh ambil mudah barisan pemain Lions XII kerana mereka berbahaya dan masih muda serta mempunyai pengalaman luas, saya buat persiapan rapi dan kita bersedia jika perlawanan diheret ke masa tambahan atau sepakan penalti," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan TRW Mohd Badri Mohd Radzi atau Piya berkata, pasukannya perlu berhati-hati dengan barisan serangan Lions XII yang diketuai Khairul Amri.


"Mereka ini laju dan kita tidak boleh beri ruang kepada mereka kerana jika kita terleka, mereka akan menjaringkan gol.

"Kelantan perlu menang perlawanan ini sebab ia melibatkan maruah negara dan kita mahu Piala FA berada di Kota Baharu, ini memang satu tanggungjawab yang besar," katanya.

Mohd Badri berkata pasukannya juga bersedia jika perlawanan akhir itu ditentukan menerusi sepakan penalti.

"Kita memang sudah bersedia dan tahap kecergasan pemain juga semakin baik, harapnya kita dapat menang Sabtu ini," katanya.

Kelantan yang muncul juara pada 2012 dan 2013, mara ke final menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan Pahang pada separuh akhir.

Lions XII pula melangkah ke final menerusi peraturan gol tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir, berdepan Terengganu, Sabtu lepas. - Bernama