KUALA LUMPUR - DAP hari ini menyatakan sokongan terhadap cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar semua ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipecat.

Lim Guan Eng (Bagan-DAP) yang juga Setiausaha Agung DAP mengakui meskipun berbeza ideologi politik, namun, partinya menyokong sepenuhnya cadangan orang nombor dua Umno itu.‎

Katanya, pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) baru-baru ini mengecewakan kerana tidak berasaskan realiti dan tidak mempunyai sebarang unsur pemacu perubahan.

“Kalau ada pun, hanya 1MDB sahaja.‎ RMK11 dibelenggu oleh skandal 1MDB yang sehingga hari ini kita tidak dapat cahaya langsung. Masih meraba-raba dalam kegelapan. Sehingga Yang Berhormat Pagoh merangkap TPM, terpaksa secara terbuka menyatakan pandangan beliau adalah bahawa lembaga pengarah 1MDB harus dibuang habis (dipecat).

“Kalau daripada seorang TPM, ini bukan pandangan peribadi. Sebagai seorang TPM, susah untuk berikan pandangan peribadi. Kalau orang nombor dua di Malaysia menyatakan lembaga pengarah mesti dibuang, kenapa sehingga hari ini masih belum kena buang?," katanya ketika membahaskan RMK11 di Dewan Rakyat, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pecat ahli lembaga pengarah 1MDB]

Beliau turut mempersoalkan sampai bila rakyat perlu berdepan dengan skandal melibatkan 1MDB yang didakwanya mencacatkan ekonomi negara.

"Saya rasa dalam dewan yang mulia ini, kita pun tahu mana Yang Berhormat daripada Umno yang sokong pandangan ini dan mana yang tak sokong. Tapi saya tak mahu terjebak dalam krisis politik dalaman Umno. ‎Itu masalah keluarga Umno. Tapi yang penting di sini untuk rakyat Malaysia, sampai bila skandal krisis 1MDB boleh diatasi? Bilakah hasrat TPM boleh dilaksanakan?

"Kita ada perbezaan politik, saya terus terang tapi dalam perkara ini, saya ingin menyatakan sokongan DAP ke atas cadangan YB Pagoh...buang...pecat lembaga pengarah 1MDB!," katanya yang disambut dengan tepukan meja oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.