Selasa, 19 Mei 2015

Buka pekung sendiri jejaskan imej Umno

Nur Jazlan Mohamed
 
 
SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan sejarah hitam Umno ketika zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987 hanya akan menjejaskan imej parti itu sendiri.

Ahli Parlimen Pulai, yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pendedahan itu juga tidak membantu menyelesaikan persoalan yang ditimbulkan Dr Mahathir.

“Perbuatan membuka sejarah dan pekung di dada ini hanya akan menjejaskan (imej) Umno.

“Sebaliknya Najib perlu menjawab setiap soalan yang dibangkitkan Dr Mahathir, kerana kesungguhan bekas perdana menteri itu akan menimbulkan keraguan dan tanda tanya dalam kalangan segelintir rakyat,” katanya.

Nur Jazlan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, siasatan PAC terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diharap dapat membantu menjawab persoalan Dr Mahathir.

Ahad lalu, Najib, ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri berkata, pada 1987 Dr Mahathir dicabar bagi jawatan Presiden Umno dan beliau masih mahu terus memimpin walaupun menang tipis.

Tiada ulasan: