MALYSIAKINI
Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dan PAS Kelantan senada dengan
presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak dikekalkan berdasarkan mandat yang rakyat dalam pilihan
raya.
Kata Haron, Najib berjiwa besar dan perlu diberikan peluang untuk
membetulkan keadaan seperti yang sudah diikrarnya kerana tiada yang
manusia sempurna di dunia ini, lapor Berita Harian.
“Berilah peluang kepada Najib perbetulkan apa yang perlu,” Haron dilaporkan sebagai berkata.
Katanya lagi, semua terpulang kepada Umno dan BN sama ada mahu memandang
serius pandangan luar mengenai kedudukan Najib atau sekadar menutup
telinga sahaja.
Kelmarin, Hadi menyatakan Najib tidak perlu berundur, sebaliknya terus mengekalkan jawatannya sebagai perdana menteri walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan.
Mengenai kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Haron berkata, beliau
masih menunggu hasil siasatan sama ada kes itu benar-benar berlaku,
atau sekadar spekulasi dan persepsi semata-mata.
“Jika betul Najib melakukan kesilapan dan kecuaian dalam membuat keputusan… beliau kena bertanggungjawab.
“Selagi belum ada bukti, saya mahu bersikap tunggu dan lihat. Namun jika
terbukti apa yang dilakukan dalam 1MDB kerana kesilapan sendiri maka
wajarlah perdana menteri membayar harga yang tinggi untuk itu,” beliau
dilaporkan sebagai berkata.
Rais: Pandangan ala Islam ala Melayu
Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan penasihat sosiobudaya
kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai mengucapkan terima kasih kepada
Hadi ekoran mengeluarkan “pandangan yang ala Islam ala Melayu” yang mahu
Najib dikekalkan.
Najib diasak banyak pihak dalam isu 1MDB, terutamanya oleh bekas perdana menteri 22 tahun Tun Mahathir Mohamed.
“Jadi, di situ (kritikan Mahathir) barangkali sahabat lama yang baharu
terasa. Haji Hadi punya komen (pertahankan Najib) itu pun relevan.
“Kita harus berterima kasih kepada Haji Hadi kerana mengeluarkan pandangan yang ala Islam ala Melayu,” Rais (atas) dilaporkan sebagai berkata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan