SHAH ALAM - Rakyat bakal berdepan dengan risiko pengurangan perbelanjaan dalam belanjawan tahunan negara sehingga RM15 bilion jika 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih gagal melunaskan hutangnya yang mencecah RM42 bilion.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa Bajet 2015 yang berjumlah RM273 bilion bakal mengalami penyusutan apabila Kerajaan Persekutuan menggunakan dana tersebut untuk menyelamatkan 1MDB.

"Sudah tentu, sebelum ini mungkin RM273 bilion untuk rakyat, lepas ini dia kurang mungkin RM10-15 bilion jika 1MDB gagal (bayar hutang).

"Jika sebahagian daripada hutang RM42 bilion itu perlu ditanggung kerajaan, maka baki hutang itu akan ditolak daripada perbelanjaan yang sepatutnya dibelanjakan kepada rakyat," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pada Isnin yang mendedahkan bahawa Terengganu Investment Authority (TIA) yang kini dikenali 1MDB pernah cuba mencagar hasil minyak dan gas negeri itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Ini salah satu sebab PM marah saya']

[ARTIKEL BERKAITAN: TIA-1MDB tiada kaitan, tegas MB Terengganu]

Mengulas lanjut, beliau juga berkata Najib sepatutnya mengambil iktibar daripada tindakan Ahmad yang menolak cadangan TIA untuk mencagarkan hasil minyak negeri itu untuk membuat pinjaman kewangan.

"Salahnya apabila Najib dia tidak mengambil iktibar daripada keputusan Datuk Ahmad Said itu daripada berdepan dengan risiko itu.

"Kalau negeri kecil itu pun tak mahu, apatah lagi lagi kerajaan Persekutuan yang sepatutnya tolak sebaliknya dia ambil (TIA) kemudian dijadikan dana yang besar, kemudian jadi penjamin," dakwanya.

Beliau juga berkata apabila 1MDB gagal melunaskan hutangnya itu, kerajaan pusat yang menjadi penjamin akan mengheret semua sumber kewangan negara untuk menyelesaikannya.

"Apabila kerajaan pusat menjamin, 1MDB hutang besar yang tidak berbayar, jadi dia mengheret keseluruhan kewangan negara termasuk dividen Petronas, Tabung Haji," katanya lagi.