KUALA LUMPUR - Berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Rompin di Pahang pada 5 Mei lepas, sebenarnya bukanlah suatu kejayaan yang boleh dibangga-banggakan oleh Barisan Nasional (BN), mahupun berasa berpuas hati. 
 
Pemerhati politik umumnya melihat BN hendaklah mengambil iktibar daripada kemerosotan majoriti undi yang diterima dan mendengarnya sebagai loceng amaran sebelum tsunami politik melanda. 
 
Kemenangan dalam sesuatu pilihan raya kecil memang penting dan amat signifikan kepada mana-mana parti politik termasuk BN khususnya dalam mengukur tahap sokongan. 
 
Namun apa yang lebih utama adalah tahap penerimaan rakyat secara total kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. 
 
Dalam konteks politik, rasa selesa dan berpuas hati segelintir pemimpin dan anggota BN dengan sokongan sedia ada melalui kehadiran sejumlah rakyat di kawasan ceramah atau program anjuran parti, belum boleh dijadikan ukuran sokongan dan diterjemahkan dalam bentuk undi pada pilihan raya.
 
BN PERLU DIJENAMAKAN SEMULA
 
Penganalisis politik berpandangan BN perlu dijenamakan semula dalam konteks pendekatannya untuk meraih tempat di hati pengundi. 
 
Persoalannya, bagaimana untuk BN dijenamakan semula?
 
Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan
Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, penjenamaan semula BN mampu membolehkan gabungan 13 komponen parti itu kekal relevan dan berdaya saing mengharungi cabaran pada masa hadapan. 
 
BN dianggotai UMNO, MIC, MCA, Gerakan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Progresif Penduduk (PPP), Parti Demokratik Liberal (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). 
 
Beliau berkata, penjenamaan perlu dilakukan secara segera dan menyeluruh, selain tidak hanya menumpukan kepada aspek imej dan slogan parti sahaja untuk menambat hati rakyat. 
 
"Penjenamaan daripada segi pendekatan dan corak kepimpinan yang menekankan aspek politik khidmat ini sangat penting. Di samping itu, roh perjuangan parti perlu terus diperkasakan lagi," katanya kepada Bernama.
 
Ada juga pihak yang berpandangan kesibukan BN menangkis serangan dan manipulasi yang dilakukan pembangkang sepanjang masa, di samping kurangnya usaha untuk menjelaskan dasar yang dilaksanakan kerajaan secara terperinci adalah antara faktor berlakunya penolakan rakyat. 
 
Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd Razali berpandangan bahawa setiap peringkat kepimpinan BN dan parti komponen perlu merakyatkan pemimpin dan parti, dan bukan hanya berdegar-degar melaungkan slogan transformasi berbentuk kosmetik, yang boleh melumpuhkan kepercayaan rakyat. 
 
"Pemimpin perlu mengotakan apa yang dicakap dan diseru kepada rakyat. 
 
"Imej elit yang ditonjolkan sesetengah pemimpin memberikan kesan besar kepada parti. Apatah lagi dengan kemajuan teknologi maklumat, sebaran imej dan isu semasa menjadi semakin cepat dan meluas. Paling penting, pemimpin BN perlu buktikan bahawa mereka adalah kerajaan memerintah untuk semua rakyat," katanya. 
 
TAWAR POLITIK KHIDMAT
 
Meskipun kemenangan di Rompin boleh dikatakan sebagai 'hadiah' sempena ulang tahun Umno yang ke-69 Isnin lepas, namun pengurangan majoriti sebanyak 6,219 undi dan kegagalan menawan hati pengundi Permatang Pauh, perlu dirisaukan. 
 
Apakah isyarat yang cuba ditunjukkan pengundi?
 
Mohd Izani berkata, kehilangan majoriti yang besar di Rompin dan kegagalan di Permatang Pauh perlukan perhatian serius oleh BN yang mana majoriti di Rompin misalnya boleh mengecil pada pilihan raya umum akan datang sekiranya usaha penambahbaikan tidak dibuat khususnya dalam menguruskan isu-isu semasa. 
 
Di Permatang Pauh, katanya BN perlu memainkan peranannya sebagai pembangkang yang efisyen dan mampu meneruskan khidmat kepada pengundi di kawasan itu.
 
"Rakyat akhirnya akan dapat membezakan layanan khidmat yang diberikan BN. BN tidak boleh menghuku m rakyat sebab tolak mereka di Permatang Pauh sebaliknya meneruskan khidmat. 
 
"BN perlu buktikan walaupun mereka pembangkang (di Pulau Pinang), namun mereka boleh menyumbang. Betulkan konsep bangkangan dalam politik Malaysia dan zahirkan bangkangan yang berfaedah," katanya.
 
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) BN memenangi 133 kerusi Parlimen dan 275 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) selain menjadi pembangkang di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan serta kembali menguasai Kedah yang dimenangi pembangkang pada PRU 2008.
 
Che Hamdan berkata, apa yang berlaku pada dua PRK itu menunjukkan BN terus berada dalam mood defensif, menyebabkan jentera parti sukar memberi penjelasan isu-isu berbangkit. 
 
"Isu-isu yang menjadi bebanan kepada BN seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberikan kesan yang cukup signifikan. Akhirnya ia diterjemahkan dalam jumlah pengundian. 
 
"Ia merupakan isyarat jelas bahawa segala isu ini memberi kesan kepada taraf hidup rakyat keseluruhan dan BN dijadikan 'penyebab' bebanan mereka. Maka natijahnya, pengundi memberi isyarat bahawa sekiranya BN tidak mampu menghayati denyut nadi masyarakat bawahan, mereka bersedia untuk membuat undi protes," katanya. 
 
PEMASARAN SEMULA BN
 
Persaingan politik antara BN dan pakatan pembangkang sebenarnya boleh diibaratkan seperti persaingan perniagaan yang banyak bergantung kepada strategi termasuk pemasaran meskipun masing-masing menawarkan produk hampir sama tetapi menggunakan nama yang berbeza. 
 
Bagaimana BN boleh 'dipasarkan' semula?
 
Che Hamdan berkata, pemasaran politik BN memerlukan satu keikhlasan. 
 
"Ia melibatkan keikhlasan antara komponen parti dan juga antara parti dengan kumpulan sasaran masing-masing. Macam mana hendak memasarkan produk apabila ada pihak yang dilihat memberi maklumat berbeza kepada pemimpin atasan dan pada masa sama tidak merakyatkan 'produk' yang dijual.  
 
"Hasilnya, pemimpin atasan hanya mendapat sokongan yang palsu daripada penyokong sedia ada. BN juga perlu meremajakan produknya, maka pemimpin-pemimpin yang senior perlu bersedia untuk memberi ruang kepada pemimpin muda yang lebih bertenaga dan memahami pasaran semasa," katanya. - Bernama