Khamis, 21 Mei 2015

Anwar: Selesai GST, 1MDB sebelum RMK11

MALAYSIAKINI


 


Isu rakyat khususnya berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta 1MDB perlu diselesaikan dahulu sebelum Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dikemukakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tumpuan kita sekarang harus ke arah memperjuangkan hak rakyat dengan membantah kenaikan harga barang terutama melalui pelaksanaan GST yang kian mendera rakyat miskin,” kata ketua umum PKR itu.

Kenyataan itu disampaikan Anwar kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah, yang juga anak sulungnya, di mahkamah sebentar tadi.

Najib yang juga menteri kewangan dalam pembentangannya hari ini berkata dalam tempoh lima tahun RMK11 bermula 2016, pembangunan ekonomi dijangka lebih mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan.

Katanya, sebahagian besarnya berpunca daripada unjuran harga minyak mentah dan komoditi utama lain yang rendah, selain risiko kelembapan ekonomi negara rakan dagang utama.

Sementara itu, Anwar juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai, termasuk Sasterawan Negara A Samad Said yang berkumpul di depan Penjara Sungai Buloh, tempat beliau ditahan, sempena 100 hari penahanannya.

Malam tadi, kira-kira 300 orang berkumpul (atas) bersama anggota keluarga Anwar di luar pintu penjara bagi menunjukkan setiakawan dengan pemimpin utama pembangkang itu.

A Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad menyampaikan sajak bertajuk “Malam Anwar” dalam acara yang diselang seli dengan nyanyian, tarian dan laungan reformasi itu. 


Tiada ulasan: