Khamis, 21 Mei 2015

Ahli Parlimen BN,PR sokong Pandikar Amin

 
Ahli Parlimen menyokong penambahbaikan Parlimen dan setuju jawatan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Parlimen dimansuhkan bagi memberi kuasa penuh kepada Speaker Dewan Rakyat.


pandikar-amin


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) setuju dengan cadangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya Parlimen ditambah baik.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad berkata, pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen pada 1992 menyebaban kuasa Parlimen terhad.

“Suatu perubahan serta reformasi terhadap Parlimen terutamanya daripada segi Akta Perkhidmatan Parlimen harus dikembalikan semula bagi meletakkan Dewan Rakyat dan negara di tempat sepatutnya.

“Ia juga bagi membezakan ataupun jauh sedikit daripada pihak Eksekutif dan seharusnya ada garisan diantara Eksekutif dan Parlimen,” katanya.

Ketua Whip Parlimen DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kesemua Ahli Parlimen DAP menyokong saranan Pandikar Amin itu.

Katanya, kuasa Menteri yang bertanggungjawab terhadap Parlimen juga sepatutnya dihadkan dan jawatan kuasa Dewan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Ketika ini, menteri tersebut seolah-olah diberikan terlalu banyak kuasa untuk mengawal pentadbiran di Parlimen,” katanya.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dimansuhkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Whip PAS, Datuk Mahfuz Omar menyatakan dari segi prinsip, Parlimen di negara ini haruslah dibebaskan daripada menteri.

“Namun, apabila ada jawatan Menteri Hal Ehwal Parlimen, ia menyebabkan Speaker bertindak tidak bebas dan setiap keputusannya itu dipengaruhi oleh menteri berkenaan,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, senario itu menyebabkan Speaker Dewan Rakyat harus bertindak sebagai ‘rubber stamp’.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pula menyifatkan Menteri berkenaan, Datuk Seri Shahidan Kassim, seolah-olah menguasai Parlimen.

Katanya, keadaan itu menjadikan Speaker Dewan Rakyat sukar untuk menjalankan tugasnya.
“Seolah-olah kita mempunyai dua bos. Satu Speaker Dewan Rakyat, seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Ahli Parlimen PKR itu turut percaya, jika kuasa di antara Speaker dan menteri diasingkan, maka masalah itu akan selesai.

“Di India juga ada Menteri yang bertugas di Parlimen, tetapi peranannya tidak sama. Di India ia bertugas sebagai koordinator, bukan bermakna tidak harus ada menteri, tetapi hanya bertugas sebagai penyelaras, tidak dominan,” katanya.

Tiada ulasan: