Ahad, 17 Mei 2015

1MDB tidak bermoral mahu rakyat bersabar

tony_pua

Roketkini.com


PETALING JAYA: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata Ahli Lembaga Pengarah 1MDB boleh dianggap tidak ada moral apabila tergamak meminta rakyat “bersabar” dalam skandal kewangan RM42 bilion 1MDB.

“Mereka (1MDB) tidak ada hak minta rakyat bersabar kerana kegagalan mereka melindungi kepentingan Malaysia sekaligus gagal juga mengurus duit pembayar cukai,”ujar Tony.

Kenyataan “mohon bersabar” dikeluarkan Lembaga Pengarah 1MDB selepas Pengerusi CIMB Datuk Seri Nazir Razak mendesak mereka meletakkan jawatan kerana gagal menyelesaikan kemelut agensi berkenaan.

Nazir yang juga adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini memang pernah mengkritik 1MDB. Nazir juga pernah mengeluarkan kenyataan bersama adik-beradiknya yang lain untuk menjelaskan keadaan apabila Najib dikaitkan dengan kekayaan “diwarisi daripada keluarga” mereka.

Menurut Tony, skandal 1MDB terlampau besar dan tidak dapat ditutup lagi.

Katanya, ia dapat dibuktikan dengan pembabitan Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) turut sama berkomplot menyelamatkan hutang melampau 1MDB.

”Oleh itu, Lembaga Pengarah 1MDB tidak mempunyai hak moral untuk menuntut rakyat Malaysia untuk bersabar.

“Agak melucukan apabila 1MDB pula mengancam untuk menyaman pengkritik.

“Mengapa tunggu sehingga hari ini untuk ambil tindakan undang-undang apabila sudah banyak dakwaan beredar dalam bidang awam selama hampir setahun sudah?” soal Tony lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: